PAS mengemukakan tiga nama sebagai calon untuk menerajui Perikatan Nasional (PN) bagi menggantikan Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan sebagai pengerusi gabungan itu pada 1 Jan lalu.
Menurut sumber PAS, tiga tokoh yang dikemukakan ialah Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man; Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar; serta Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Bagaimanapun, sumber itu menjelaskan keputusan muktamad terletak di tangan PAS Pusat namun Sanusi secara terbuka telah menolak untuk dicalonkan sebagai pengerusi PN.
"Tuan Guru (Abdul Hadi Awang) telah memberikan penjelasan berhubung perkara ini. Beliau memberi alasan kenapa tidak mahu menerajui PN.

"Sanusi pula menolak untuk dipilih sebagai pengerusi PN dan Tuan Ibrahim juga menyatakan hasratnya untuk tidak memimpin PN.
"Setakat ini hanya Samsuri yang mungkin akan dicalonkan PAS sebagai pengerusi PN," kata sumber itu kepada Malaysiakini.
Semalam, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu kekal menerajui PN susulan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi gabungan tersebut pada awal Januari lalu.
Dia berkata resolusi Muktamar PAS sebelum ini meluluskan usul supaya PAS memimpin PN.

"Itu resolusi Muktamar PAS untuk (PAS) jadi pengerusi (PN)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, Marang semalam.
Ditanya mengenai kedudukan Muhyiddin yang masih kekal sebagai pengerusi PN sehingga kini, Abdul Hadi berkata tiada sebarang keputusan baru dibuat setakat ini, selain menegaskan PAS sudah mempunyai calon bagi jawatan tersebut.
Muhyiddin kekal terajui PN?
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang berkata PAS masih belum menerima sebarang jemputan mesyuarat rasmi PN untuk membincangkan pelantikan pengerusi baru.

Sementara itu, sumber memaklumkan masih terdapat tawaran daripada Bersatu untuk mengekalkan Muhyiddin sebagai pengerusi PN.
Malaysiakini telah menghubungi beberapa pemimpin PAS bagi mendapatkan pengesahan lanjut mengenai perkara itu, namun mereka enggan mengulas.
Dalam pada itu, sumber Bersatu ketika ditemui mengakui parti tersebut masih berharap agar Muhyiddin diberi peluang untuk terus menerajui PN.
Katanya, kepimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri sebelum ini dianggap terbukti dan berpotensi menjadi nilai tambah dalam menarik sokongan rakyat.
Walaupun enggan mendedahkan butiran lanjut, sumber itu berkata perbincangan antara pemimpin Bersatu dan PAS telah diadakan dalam beberapa pertemuan sebelum ini.
"Tunggu, akan ada beberapa perubahan bakal berlaku, perbincangan telah diadakan dan ia positif," katanya kepada Malaysiakini.

