malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Keputusan PRU15 telah mentakdirkan PN yang diketuai Muhyiddin Yassin gagal membentuk kerajaan persekutuan. Dengan kelicikan strategi dan rundingan sulit dengan Umno, Pengerusi PH Anwar Ibrahim berjaya menyakinkan Yang di-Pertuan Agong bahawa PH dan koalisinya telah mendapat majoriti di Dewan Rakyat, seterusnya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10. 

Sebahagian pemerhati politik melihat semua ini berlaku kerana PN kurang bersedia dengan sepak terajang strategi pasca pilihan raya, di samping susuk calon PM dari PN yang disuakan kurang diterima oleh Agong.

Maka menjelang PRU16, adalah baik kiranya kita semua merenung alternatif terpendam yang tersedia dengan mempertimbangkan untuk PAS untuk mengetuai PN bagi mengelak kegagalan itu berulang. 

Hipotesis ini perlu difikirkan menjelang muktamar nanti bagi mewujudkan formula kemenangan mutlak untuk masa depan Malaysia. Perasaan lebih menjaga sekutu politik perlu diganti dengan jati diri dan keyakinan akan kebolehan PAS disamping tetap menjaga setia kawan dalam PN. Pas memang ada kelebihan yang mendalam.

Umum pengetahui PAS adalah parti yang paling lama dalam PN yang tumbuh membiak sejak 1951 di seluruh negara. 

Semua kawasan dan cawangan mempunyai ramai ahli yang komited dan bersedia menerima arahan pimpinan terutama musim perang PRU.

PAS parti paling kuat

Jika diukur daripada jumlah kerusi, PAS mempunyai kerusi paling banyak di Parlimen iaitu 43 kerusi, mengalahkan semua parti lain. Selain itu,  Pas telah memasakkan tapak kukuh di empat negeri dengan menguasai majoriti DUN. Pengaruh ini telah berjalan melata dalam hati nurani rakyat melalui dasar dan pelaksanaan yang kukuh dan berkesan.

Ini semua faktor menolak yang memberi impak tinggi kepada mood  sokongan rakyat semasa pilihan raya.

Ideologi perjuangan Islam yang bersih

Ideologi perjuangan Islam PAS yang bertunjangkan Quran dan Hadis adalah paling bersih dan mempunyai nilai kebersihan perjuangan yang tinggi dan kukuh untuk ditawarkan kepada Malaysia. 

Ia tertanam secara perlahan dalam hati sanubari rakyat, terutama selepas pelbagai peristiwa berlaku dalam geopolitik dunia mutakhir ini melibatkan gerakan Islam antarabangsa. 

Pemikiran rakyat untuk kembali kepada Islam menuju suasana akhir zaman ini bertepatan dengan tawaran Pas supaya Islam dijadikan jantung politik negara. Dasar ini juga telah diterjemahkan sebaiknya terutama zaman pentadbiran Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan selama 23 tahun, yang merupakan ikon negara.

Tawaran ini perlu disebarluaskan dengan ikon baru dalam PAS sesuai dengan pemikiran dan suasana semasa dalam negara.

Pemimpin bersih dan berwibawa

Semua pemimpin PAS bersih daripada segala skandal dan kontroversi selama memegang kuasa. Pemimpin PAS juga mempunyai ketahanan terhadap ujian dan tekanan pemerintah.

Begitu juga dengan kemampuan mengurus negeri dengan visi dan hala tuju yang jelas dalam tempoh tertentu serta kejayaan memperbaiki kerosakan ketika era pentadbiran Umno BN secara beransur, selain mencapai objektif ekonomi negara dengan mewujudkan peluang pekerjaan melalui tindakan menarik pelaburan luar.

Ini semua adalah kecekapan teras yang membuktikan kebolehan Menteri Besar daripada PAS untuk dinilai rakyat.

Ia juga menunjukkan perbandingan ualiti yang ada berbanding dengan pemimpin dari parti politik lain, terutama Umno dan PKR yang dilihat mencatat pencapaian mendatar walaupun di negeri sedia maju seperti Selangor.

Faktor strategik penyatuan orang Melayu Islam

PAS berada dalam posisi terbaik untuk menjadi magnet penyatuan orang melayu Islam berbanding parti lain dalam PN. Sejarah dan rekod menunjukkan PAS adalah rakan sekutu yang baik dan tidak menjadikan dendam sebagai objektif politik serta sentiasa menyeru kepada penyatuan, walaupun kepada seteru politik iaitu Umno BN. 

Pergeseran Umno/Bersatu dalam khilaf politik selepas 2018 menjadikan mereka saling prejudis, justeru memerlukan pihak ketiga yang lebih dipercayai bagi mewujudkan kepimpinan kondusif di semua arah politik menuju penyatuan ummah. 

Ini adalah formulasi penyatuan dalam Muafakat Nasional yang telah gagal sekerat jalan. 

Seruan penyatuan ini sememangnya ditunggu majoriti rakyat bagi membendung ancaman sikap yang dilihat rasis terutama dari DAP yang cuba dinormalisasikan.

PAS perlu membetulkan tiang-tiang bengkok ummah dan menyapu sampah sarap perkauman  bagi menurap semula jalan wahdatul ummah. 

Hubungan baik dengan Raja-Raja Melayu

Pemimpin dan Menteri Besar PAS tidak pernah membuat onar dengan Raja-Raja Melayu dalam semua isu kritikal. Mereka membina hubungan yang hangat dengan institusi diraja dan dilihat sentiasa taat menghormati titah diraja dalam banyak keadaan. 

Faktor ini mungkin akan memberi kelebihan taktikal kepada PAS dalam membina laluan mudah kepada semua urusan terutama pembentukan kerajaan selepas PRU.

Faktor Samsuri dan Sanusi

Ahmad Samsuri Mokhtar dan Muhammad Sanusi Mohd Nor telah meletakkan tanda aras baru kualiti kepimpinan negeri di Malaysia.

Sikap mereka yang sederhana dan pesona peribadi yang memikat telah menjelmakan kualiti pemimpin PAS dalam menerajui kerajaan. Ini juga cerminan kepada apa yang akan berlaku di Putrajaya nanti. 

Dasar-dasar negeri yang menjiwai kesusahan dan derita rakyat telah menawan hati kelas menengah dan bawah orang Melayu Islam. Begitu juga dengan dasar dan layanan kepada bukan Islam yang langsung tidak memberikan ancaman terhadap orang cina dan India di negeri yang ditadbir PAS.

Perkara ini telah menjadi fenomena luar biasa semasa PRU15 dulu dan tidak mustahil akan berulang terutama bila melihat respons rakyat yang muak dengan ancaman rasis DAP dan kelemahan tata kelola serta masalah peribadi dalam kerajaan Madani.

Masyarakat memerlukan alternatif yang berwibawa serta rekod yang terbukti berkesan dalam membawa bahtera Malaysia ke mercu kejayaan. Ini semua telah dizahirkan oleh PAS.

Ramai lagi pemimpin berwibawa dalam PAS dan mereka setia dan reda dipandu oleh golongan ulama sebagai murshid dan penjaga dasar Islam PAS untuk diangkat menjadi dasar negara nanti.

Kesimpulan

Jika semua ini dapat dipakejkan bersama Umno dan Bersatu dalam magnet penyatuan baru, tidak mustahil PAS dan PN akan berjaya menyakinkan majoriti rakyat Malaysia, terutama di kerusi majoriti Melayu di Semenanjung.

Jika ini terjadi, gabungan politik di Borneo dan sebilangan pihak dalam PKR, DAP dan amanah akan bersatu di bawah payung Pas. Jajaran pemikiran ini perlu diusahakan supaya PN berjaya mendapat dua per tiga majoriti sebelum kita semua memasuki gerbang pilihan raya nanti.


ARIFFAHMI ABD RAHMAN adalah ahli PAS.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen