Analogi kepimpinan Bersatu dengan pasukan bola sepak kurang tepat.
Menyifatkan presiden Bersatu dengan kapten bola sepak cukup dangkal.
Begitulah membandingkan kefahaman seseorang ahli biasa dengan kepimpinan tertinggi, janggal sama sekali.
Justeru, saya ingin mengulas tulisan Mahdzir Ibrahim bertajuk “Bersatu main bola tak lihat tiang gol”. (Malaysiakini 17 Jun 2025)
Secara nyatanya, kefahaman penulis itu tentang politik amatlah cetek.
Membandingkan perang politik dalam PKR yang berantakan sehingga dua menteri berundur, juga melucukan.

Kebijaksanaan presiden Bersatu ‘menyelesaikan’ barisan pelapis dalam parti sepatutnya mendapat pujian.
Ketika Presiden PKR dilihat bermain politik bila berlaku pertandingan jawatan timbalan presiden, ia tidak berlaku dalam Bersatu.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Mohd Yassin ‘berunding’ dengan penyandang timbalan presiden ketika itu Ahmad Faizal Azumu, untuk memberi laluan jawatan nombor dua kepada setiausaha agung ketika itu, Hamzah Zainuddin.

Ia berlaku dengan aman dan tenang.
Ahli-ahli kemudiannya mengesahkan ‘susunan tersebut’ dengan kemenangan tanpa bertanding jawatan timbalan presiden, manakala mantan timbalan presiden, berjaya mengisi satu kekosongan dari tiga kerusi naib presiden.
Inilah sebenarnya nasihat Melayu - tarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berserakan.
Mendakwa selepas PRU15, PN dilihat lesu, lemah dan tumpul, cukup memalukan.
PN sebenarnya berjaya memainkan peranan terbaik sebagai pembangkang, hingga pihak kerajaan terpaksa ‘memfitnah’ PN mendapat sumbangan dari wang syarikat judi ketika menghadapi PRU15, gagal dibuktikan sehingga kini.
Kegagalan kerajaan cuba ditutup dengan PN dikatakan lesu, lemah dan tumpul.
Presiden bukan jurulatih bola
Bersatu menjadi tiang seri dalam PN bukan hanya kerana sejarah dan legasi politik, tetapi kerana “keikhlasan PAS” mahukan Muhyiddin selaku perdana menteri kelapan menerajui PN.
Tiada faktor lain dan PAS realisitik.
Melihat Bersatu ‘demam’ dek kelelahan menghadapi tekanan politik silih berganti, juga melucukan.
Bersatu tidak wajar dibandingkan dengan sukan bola sepak.
Presiden Bersatu bukan bandingan kapten pasukan.

Kapten tercedera dan pancit, kononnya perlu diurus dengan mudah dengan membawa masuk pemain gantian, cadangan cukup dangkal.
Kapten berpura-pura cergas juga adalah anggapan ‘budak-budak’ yang baru belajar kenal permainan bola sepak.
Kapten bola sepak dipilih oleh jurulatih tetapi presiden parti dipilih oleh perwakilan.
Jurulatih hanya seorang berbanding dengan jumlah perwakilan Bersatu, lebih seribu, membuktikan analogi itu kurang tepat.
Bagaimana penulis ini boleh mengatakan ‘ekoran kesilapan strategi dalam pembentukan kerajaan’ dikaitkan kononnya satu kelemahan.
Semua orang tahu dan kes ini sudah pun ke mahkamah, bahawa pembentukan kerajaan bukan urusan PN, sebaliknya sejumlah 115 akuan berkanun (SD) yang dihantar ke Istana juga diketahui umum.
Tekanan pendakwaan kes di mahkamah tidak pula disebut ‘pihak kerajaan sekarang’ lebih teruk menerima tekanan dan pendakwaan mahkamah, termasuk saman sivil Mohamad Yusoff Rawther.
Mana mungkin menukar presiden boleh dibuat ‘sama macam menukar pemain bola sepak’.
Siapa yang dimaksudkan ‘supersub’ dalam Bersatu yang mahu dibawa masuk?
Apakah penulis ini tidak tahu, pemilihan ‘supersub’ yang ada sekarang atas kebijaksanaan presiden, bukan dipilih oleh coach seperti pasukan bola sepak.
Kecelaruan penulis ini untuk membandingkan Muhyiddin sebagai PM8 yang cemerlang tetapi ‘lemah’ memimpin Bersatu, jelas.
Kayu ukur mana?
Bersatu menang 13 kerusi dalam PRU14 dan menang 31 kerusi dalam PRU15, tidak dijadikan perbandingan bersaing, melawan, membentes, mengelecek, menendang, mengumpan bola bertahan dan menyerang.
Muhyiddin juga disifatkan tidak berjaya sebagai pembangkang berbanding berjaya ketika menguruskan Covid-19 juga sesuatu yang tidak sihat.
Muhyiddin bukan ketua pembangkang, jika mahu dilihat peranan sebagai pembangkang.
Mungkin penulis ini keliru siapa sebenarnya ketua pembangkang yang kononnya diperlukan mesti berani.
Kayu ukur mana yang digunakan untuk melabelkan PN lemah?
Dia lupa bahawa kekuatan PAS ketika ini adalah sebab bergandingan dengan Bersatu dalam PN.
Sebagai seorang ahli Bersatu, pemerhatian penulis ini hanya mahu membuat dakwaan yang Bersatu lemah disebabkan gagal menyatukan suara pembangkang.
Sebenarnya, pembangkang yang berada di luar PN sepatutnya dipersalahkan kerana mereka ‘gagal melihat kepentingan yang lebih besar berbanding mengekalkan kepentingan kecil’ yang sedang mereka dukung.
DAUD IBRAHIM adalah anggota Bersatu cawangan Bandar Baru Selayang Utara.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

