malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sikap tipikal PMX salahkan orang lain - Saifuddin
Diterbitkan:  Jun 11, 2025 3:45 PM
Dikemaskini: 7:45 AM
ADS

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Saifuddin Abdullah, menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim cuba mengalihkan kesalahan kepada pihak lain bagi menjustifikasi kegagalannya menunaikan janji-janji reformasi.

“Ini adalah sikap tipikal PMX — menyalahkan pihak lain demi menutup kelemahan sendiri,” katanya pada satu kenyataan.

Merujuk kepada kenyataan Anwar semalam, Saifuddin berhujah pendirian semasa perdana menteri itu sangat bertentangan dengan nada dan bahasa yang digunakannya sebelum memegang jawatan.

“Dahulu, beliau sering menegaskan bahawa reformasi boleh dilaksanakan dengan segera dan akan mendapat sokongan penuh daripada semua pihak.

"Beliau juga dilihat begitu yakin bahawa beliau tahu dengan jelas apa yang perlu dilakukan, dan semua pihak kononnya telah bersedia untuk melaksanakannya,” kata ahli parlimen Indera Mahkota itu.

Namun kini, kata Saifuddin, Anwar mendakwa kerajaan boleh tumbang jika reformasi dilakukan terlalu cepat — satu petanda dia lebih cenderung kepada kelangsungan politik berbanding reformasi sebenar.

“Satu pendekatan yang tidak wajar datang daripada seseorang yang menggelar dirinya sebagai reformis,” kata Saifuddin.

Dia turut meluahkan kebimbangan apabila Anwar menyalahkan parti-parti dalam gabungan kerajaan seperti GPS dan GRS atas isu sokongan terhadap reformasi.

“Apabila beliau menggunakan istilah hikmah (kebijaksanaan) sebagai alasan memperlahankan reformasi, saya tidak melihatnya sebagai mencerminkan makna sebenar istilah tersebut.

"Sebaliknya, ia lebih menyerupai suatu helah — alasan untuk menjustifikasikan kegagalan beliau dalam melaksanakan reformasi yang dijanjikan,” katanya lagi.

Semalam, Anwar yang menerima kritikan kerana kadar pelaksanaan reformasi yang perlahan, berkata dia sedang melakukan yang terbaik untuk meneruskan agenda tersebut.

Katanya, agenda itu memerlukan masa dan sokongan dari luar lingkungan PH, yang menurutnya tidak mempunyai majoriti mudah di parlimen.

"Ada yang tidak sabar. Anda boleh bergerak pantas dan dijatuhkan esok, jadi ia perlu dilakukan dengan bijak.

"Hikmah sangat bermakna, bukan sahaja dalam cara anda bercakap, tetapi juga bagaimana anda bertindak. Adakah anda mempunyai sumber?

"Adakah anda mempunyai sokongan yang diperlukan? Adakah anda mampu meyakinkan elit pemerintah dan elit profesional bahawa ini adalah misi yang mesti disokong oleh semua," soal perdana menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen