malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Fitnah projek S'gor: Chegubard mohon maaf pada anak sykt MBI
Diterbitkan:  Feb 3, 2025 3:29 PM
Dikemaskini: 7:39 AM
ADS

Pemimpin Bersatu Badrul Hisham Saharin atau lebih dikenali Chegubard memohon maaf kepada Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) kerana mengeluarkan kenyataan tidak berasas dan berunsur fitnah terhadap anak syarikat Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) itu berhubung projek Selangor Maritime Gateway.

LLSB memaklumkan Badrul membuat permohonan maaf secara terbuka di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam minggu lalu sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian saman sivil syarikat itu terhadap ketua bahagian Bersatu Port Dickson itu.

"Kami dengan sukacitanya mengumumkan bahawa berdasarkan cadangan daripada Chegubard untuk penyelesaian di luar mahkamah, pihak-pihak yang terlibat dalam saman ini telah mencapai penyelesaian secara baik.

"Sebagai sebahagian daripada penyelesaian ini, Chegubard telah membuat permohonan maaf secara terbuka di mahkamah di hadapan hakim yang mengendalikan kes ini.

Gambar fail, pelancaran projek Selangor Maritime Gateway.
ADS

"Dia mengakui dakwaan yang dibuatnya itu tidak berasas serta menyatakan kekesalan terhadap kesan fitnah yang telah menyebabkan kerosakan, tekanan dan mencemarkan reputasi LLSB, yang mana diamengambil tanggungjawab penuh atas perkara tersebut," menurut LLSB pada satu kenyataan.

Menurut anak syarikat MBI Selangor itu lagi, Badrul juga telah menarik balik semua kenyataan yang dibuat berhubung perkara tersebut, dengan pengakuan kenyataan itu dibuatnya berdasarkan "maklumat yang tidak tepat dan tidak lengkap."

Ahli politik itu turut berjanji kepada syarikat dia tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan palsu atau berunsur fitnahlagi berhubung perkara itu, sama ada terhadap LLSB mahupun projek Selangor Maritime Gateway.

"Permohonan maaf ini dibuat tanpa sebarang syarat sebagai satu pengakuan terhadap tanggungjawabnya serta komitmen untuk membetulkan kesilapan yang telah dilakukan.

"LLSB mengalu-alukan penyelesaian isu ini dan melihatnya sebagai satu perkembangan positif yang menegaskan dedikasi kami terhadap ketelusan dan akauntabiliti dalam semua operasi, serta komitmen kami dalam menegakkan prinsip-prinsip ini," kata syarikat itu.

Pada Ogos 2023, Badrul dilapor menuduh LLSB memperoleh projek pembersihan sungai tanpa melalui proses tender terbuka.

Selain itu, aktivis PN itu juga mendakwa LLSB dimiliki oleh seorang taikun perniagaan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen