malaysiakini logo
story-image
ADS

PRK KKB | Pakatan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengumumkan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB).

Pengumuman tersebut dibuat pemangku presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz dan Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan pada sidang media khas yang diadakan di Rumah Hitam Muda di Petaling Jaya, hari ini.

Antara sebab keputusan itu, kata Amira, adalah mereka ingin menumpukan kepada menjadi penyemak imbang untuk masyarakat di Kuala Kubu Bharu.

"Selepas beberapa siri perbincangan bersama, Muda-PSM memutuskan untuk tidak bertanding dalam PRK Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei nanti.

"Keputusan diambil bagi membolehkan pengundi di KKB melaksanakan hak mengundi mereka dan mengemukakan referendum yang kuat terhadap prestasi kerajaan Madani.

"Selain, membolehkan pengundi membuat keputusan (memilih) di antara parti pemerintah (penyandang) dan parti pembangkang utama," kata Amira.

Berikutan keputusan tersebut, hanya dua calon yang mengumumkan akan bertanding setakat ini iaitu calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

PH akan menampilkan Pang Sock Tau yang juga merupakan pegawai kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming.

Manakala PN mempertaruhkan Ketua Bersatu Hulu Selangor Khairul Azhari Saut.

Pada sidang media tersebut, Muda dan PSM menggesa semua parti politik serta calon yang bertanding untuk memenuhi aspirasi pengundi dengan menggariskan beberapa panduan untuk mengundi pada PRK kali ini.

Antaranya adalah pengundi harus memerangi parti atau calon yang membawa naratif perkauman dan memerangi rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

Selain itu, memilih parti atau calon yang memperjuangkan kos sara hidup dan meningkatkan keselamatan sosial, memelihara alam sekitar dan menjamin hak demokratik rakyat.

Mengulas lanjut, Amira berkata tempoh selama dua minggu ini akan digunakan gabungan itu untuk menggerakkan kempen-kempen rakyat di Kuala Kubu Bharu.

"Isu-isu penting seperti kos sara hidup, perumahan yang menekan golongan B40, penjagaan kesihatan awam antara fokus yang perlu disegerakan oleh kerajaan Madani," katanya.

Bukan parti bermusim

Sementara itu, Arutchelvan mengakui walaupun terdapat desakan untuk meletakkan calon namun gabungan itu menumpukan untuk membantu pengundi membuat penilaian kepada parti-parti yang bertanding.

"Kami adalah parti aktivis bukan parti bermusim di pilihan raya, bila tak bertanding bukan bermakna kita tak membuat kerja.

"Kita minta maaf kepada media dan penyokong kita. Ia sedikit antiklimaks kerana kita tidak bertanding walaupun memang ada desakan untuk third force bertanding.

"Walaupun ini pilihan raya DUN tapi ia juga adalah referendum nasional kepada kerajaan Madani.

"Jadi lita mahukan rakyat KKB mengambil keputusan penting sama ada kerajaan madani ini patut diundi ataupun tidak, tapi keputusan ini terletak kepada rakyat di KKB," katanya.

Dia turut memetik isu wakil pekerja ladang yang meminta SD (perakuan berkanun) daripada calon dan parti politik jika ingin meraih undi mereka.

"Ini kali pertama pekerja ladang minta SD daripada calon bertanding kerana mereka hilang keyakinan kepada janji ahli politik.

"Begitu banyak penipuan pilihanraya yang berlaku dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini. Jadi, kita akan gunakan untuk menampilkan perkara seperti ini serta keluhan masyarakat di sana," katanya lagi.

Semalam, pengundi dari lima ladang di kawasan DUN Kuala Kubu Bharu meletakkan syarat untuk calon yang mahu undi dari ladang berkenaan dengan membuat SD bagi menunaikan segala janji yang ditabur.

Sementara itu, Arutchelvan menafikan beberapa siri kekalahan pada pilihan raya sebelum ini antara sebab keputusan tidak bertanding diambil oleh Muda dan PSM.

"Dalam sistem first-past-the-post (pemenang undi terbanyak), memang sukar parti blok ketiga hendak menang. Bukan saja di negara kita tapi di seluruh dunia, itu normal.

"Tetapi dalam pilihan raya ini, kita nak wujudkan satu gabungan yang lebih kuat supaya kita boleh bertanding di semua kerusi daripada hanya beberapa kerusi.

"Saya fikir itu satu kelemahan yang kita ada sekarang," katanya.

Kuala Kubu Bharu merupakan kerusi DUN campuran, dengan pengundi Melayu menyumbang 51 peratus, pengundi Cina (30 peratus), pengundi India (18 peratus) dan lain-lain.

Pilihan raya kecil di Kuala Kubu Bharu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong yang memenangi kerusi tersebut sejak 2013.

Lihat Komen