Perdana Menteri Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan Lembaga Pengampunan akan membuat pengumuman mengenai permohonan Najib Razak hari ini.
“I believe so (saya percaya begitu),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, di Kuala Lumpur, hari ini.
Ditanya jika keputusan itu akan menjejaskan reputasi kerajaan perpaduan yang diterajuiinya, Anwar berkata keputusan yang dibuat adalah di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan.
"Itu bawah Lembaga Pengampunan dan Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Terdahulu, Anwar memaklumkan kerajaan tidak akan mengumumkan keputusan itu, sebaliknya ia bakal dibuat sendiri Lembaga Pengampunan.
Sebelum itu, ketika ditanya pemberita selepas makan tengah hari di Gerai Makan Pertama Complex, di Kuala Lumpur, hari ini, Anwar mengesahkan bahawa Lembaga Pengampunan telah mempunyai keputusan mengenai pengampunan bekas perdana menteri itu.
Bagaimanapun, Anwar enggan mengulas lanjut perkara tersebut sebaliknya meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi oleh Lembaga Pengampunan.
"Ya, sudah ada kepastian, tunggu pengumuman," katanya.
Apabila diminta menjawab mengenai pengampunan diberikan kepada Najib, Anwar hanya menjawab “tunggu pengumuman”.
Bagaimanapun, katanya kerajaan tidak akan membuat sebarang pengumuman mengenai keputusan itu, sebaliknya ia bakal dilakukan sendiri oleh Lembaga Pengampunan.
"(Itu) urusan Lembaga Pengampunan, tunggu... sudah ada kepastian (keputusannya),” kata Anwar.
Namun, keputusan sama ada Najib akan diberi pengampunan penuh atau separa tidak dijawab lebih lanjut oleh Anwar.
Saluran-saluran berita luar negara sebelum ini melaporkan Lembaga Pengampunan (Wilayah Persekutuan) yang bersidang pada Isnin 29 Januari telah memendekkan tempoh penjara Najib daripada 12 tahun, yang dijatukhan oleh mahkamah, kepada enam tahun dan denda dikurangkan kepada RM210 juta.
Mengikut laporan Channel News Asia (CNA) Singapura, keputusan itu telah dibuat oleh Lembaga Pengampunan yang diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong kononnya kerana bekas perdana menteri itu "berkelakuan baik".
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, memaklumkan bahawa Lembaga Pengampunan dijangka membuat pengumuman rasmi berhubung permohonan Najib itu, minggu ini.
Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda RM210 juta terhadapnya, yang didapati bersalah atas pertuduhan menyeleweng dana SRC berjumlah RM42 juta.




