malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sanusi mohon maaf atas gurauan yang 'ditularkan di luar konteks'
Diterbitkan:  Aug 7, 2021 2:40 PM
Dikemaskini: 6:40 AM
ADS

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor hari ini meminta maaf atas "gurauan kasar" yang dibuatnya berkenaan kontena jenazah di Kedah semalam.

Kata Sanusi juga, gurauan tersebut ditularkan secara di luar konteks.

Menurut ahli Jawatankuasa Pusat PAS itu lagi, orang yang biasa berjumpa dengannya faham bahawa dia memang suka bergurau terutama dengan wartawan yang dianggapnya sebagai sebahagian daripada keluarganya.

"Sidang media semalam tu, yang jadi top-nya (perhatian utama) gurauan saja (yang) di luar konteks sebenar.

"Oleh kerana ada pihak tersinggung dengan gurauan itu, saya memohon maaf kepada pihak yang tersinggung, dan saya ingin jelaskan saya cuma ingin bergurau dengan wartawan.

"Depa tahulah karakter saya tu, tapi dah masuk kamera (dirakam), nasib sayalah," katanya pada sidang media di Alor Setar hari ini.

Semalam tular klip video Sanusi menjawab soalan wartawan berkaitan isu Covid-19 di Kedah dan nasihatnya kepada orang ramai agar mematuhi prosedur operasi standard kerana hospital di negeri itu sudah penuh.

Ditanya sama ada tempat menyimpan mayat pesakit Covid-19 mencukupi atau tidak, Sanusi menjawab: "Kontena jenazah mencukupi, siapa nak masuk sila bagi nama."

Reaksi spontan itu kemudian mengundang kecaman pelbagai pihak sama ada kalangan ahli politik atau pakar kesihatan awam kerana dianggap tidak sensitif dengan situasi semasa.

Semalam sebanyak 158 lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan di seluruh negara menjadikan jumlah keseluruhan korban wabak itu kini sebanyak 10,177 orang.

Menurut Sanusi ekoran kenyataan itu dia menerima banyak mesej yang mencelanya.

"Saya terimalah sebagai adat dalam kerjaya saya... ada yang suka, ada yang benci," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen