malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tiada jaminan masalah selesai jika tukar kerajaan, kata Lajim
Diterbitkan:  Jul 4, 2021 5:57 PM
Dikemaskini: 9:57 AM
ADS

Sambil mempertahankan tidak wajar kerajaan ditukar pada waktu ini, seorang pemimpin Bersatu juga mendakwa perubahan itu juga tidak menjamin masalah sedia ada dapat diselesaikan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Lakim Ukin, berkata adalah wajar untuk semua pihak menunggu datangnya pilihan raya umum (PRU) baru jika mahu berbuat demikian.

"Kita juga kena ingat, bolehkah selesai masalah kalau tukar kerajaan?

"Banyak lagi perlu difikir, (misalnya) lantik itu ini. Bagi saya tunggu saja pilihan raya tidak lama lagi, satu setengah tahun saja lagi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan Lajim itu dibuat pada hari terakhir tempoh 14 yang diberikan Umno kepada Perikatan Nasional (PN) memulakan proses mengadakan semula sidang parlimen.

Meskipun belum ada sebarang pengumuman dikeluarkan Umno, beberapa pihak menjangkakan parti itu akan memulakan langkah drastik mulai esok. Pun begitu sesetengah pihak pula menjangkakan tiada sebarang perubahan besar akan berlaku.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan sidang parlimen akan diadakan sebelum tempoh darurat berakhir pada 1 Ogos ini. Pendirian itu hadir selepas tiga kali Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menegaskan pentingnya parlimen bersidang secepat mungkin.

Pembukaan parlimen dilihat tidak menjadi kecenderungan PN ketika tahap sokongan yang dinikmati Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri sedang diragui.

Bagaimanapun parti pembangkang serta Umno sudah berjanji untuk tidak akan menyokong sebarang usul undi tidak percaya jika ada dikemukakan ke atas Muhyiddin.

Pada masa sama status penularan wabak Covid-19 masih terus membimbangkan dan untuk tempoh yang agak lama, kes baru harian masih berada pada tahap lebih 6,000 di sebalik sekatan pergerakan penuh yang dikuatkuasakan kerajaan sejak 1 Jun lalu.

Menurut Lajim penggal parlimen yang ada sekarang akan tamat pada 2023 dan ketika itu bolehlah semua parti politik berusaha mengubah kerajaan.

Lajim yang pernah menjadi ahli Majlis Tertinggi Umno sebelum menyertai PKR, menubuhkan parti baru dan akhirnya menyertai Bersatu menambah, langkah itu lebih baik berbanding menukar kerajaan ketika seluruh negara masih berdepan Covid-19.

“Saya berpandangan dalam keadaan sekarang sepatutnya wakil rakyat perlu melihat yang mana keutamaan mereka, sama ada mahu mendapatkan jawatan atau mengutamakan rakyat," katanya.

Lihat Komen