malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pengerusi NGO dakwa Razlan termakan hasutan DAP
Diterbitkan:  May 28, 2021 6:42 PM
Dikemaskini: 10:42 AM
ADS

Anggota Majlis Tertinggi Umno Razlan Rafii didakwa terpengaruh dengan hasutan DAP apabila mengecam tujuh menteri Perikatan Nasional yang dianggapnya gagal berfungsi.

Pengerusi Penggerak Komuniti Negara Malaysia (PKN), Nor Hizwan Ahmad, berkata kenyataan dibuat Razlan itu muncul tidak lama selepas Tajuddin Abdul Rahman yang juga pengarah pilihan raya Umno Malaysia dipecat.

"Ia dilihat sebagai tidakan retaliasi (memberontak) dan menjadi pak turut yang senada dengan rakan cadangan jajaran baru politik mereka, DAP.

"Ahli Parlimen DAP Hannah Yeoh yang sebelumnya menulis ciapan berbunyi: 'Now I want to see Umno retaliate by demanding for sacking of Bersatu Ministers yang tak berfungsi. Can you think of some names?' (Sekarang saya nak lihat Umno melawan dengan menuntut menteri Bersatu yang tak berfungsi dipecat. Bolehkan kamu fikirkan beberapa nama?).

"Ia jelas mempengaruhi tindakan Razlan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Hizwan berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan dibuat Razlan semalam yang menyenaraikan tujuh menteri yang didakwanya tidak berfungsi.

Semalam, Razlan menyenaraikan tujuh menteri - kebanyakannya wakil Bersatu - yang didakwanya gagal memainkan peranan serius ketika negara berdepan wabak Covid-19.

Antara yang disorotnya ialah ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan anggota Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dari Bersatu.

Sentiasa siap sedia

Mengulas lanjut, Hizwan berkata selaku Pengerusi PKN Nasional dia ingin "memperbetul" dakwaan Razlan yang disifatkannya jauh menyimpang dari keadaan sebenar.

Katanya, dakwaan Razlan bahawa Zuraida lebih mengutamakan PKN berbanding membantu rakyat berdepan ancaman Covid-19 dan menggesa NGO di bawahnya membelanjakan wang bagi membantu mendaftarkan orang ramai untuk vaksinasi adalah tidak benar.

"Zuraida merupakan penaung yang sentiasa memberi nasihat dan panduan gerak kerja kepada kami selaku sebuah NGO yang mendukung aspirasi kerajaan khususnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Program kami di seluruh negara tidak berhenti sepanjang tahun dan meliputi pelbagai bentuk bantuan, sokongan dan aktiviti yang memberi fokus kepada komuniti khususnya golongan B40.

"Ia termasuklah program kesedaran, kempen mematuhi SOP dan kempen pendaftaran vaksin Covid-19.

"Ia juga seiring dengan peranan KPKT sendiri yang merupakan ahli dalam Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF)," katanya.

Tambah Hizwan, PKN turut menyokong penuh inisiatif MyVAC yang menggembleng sukarelawan sebagai pemudah cara dan membantu petugas barisan hadapan di semua pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara.

"Sukarelawan kami sentiasa bersiap sedia membantu kerajaan dalam hal ini. Fungsi hakiki dan sumbangan KPKT yang diterajui Zuraida dalam membantu kerajaan memerangi Covid-19 pula tentulah jauh lebih besar dan lebih menyeluruh. Prestasinya luar biasa," kata Hizwan.

Oleh itu, Hizwan berkata Razlan sepatutnya bersikap terbuka untuk mencari fakta serta memahami tatakelola kerajaan yang kini turut disertai partinya.

Malah, tambah Hizwan kebanyakan kementerian utama yang kini berusaha dalam membendung wabak ini adalah diterajui oleh ahli parlimen Umno.

"Bantulah mereka, jangan mengkritik semberono tanpa fakta. PKN sebagai sebuah NGO berusaha sedaya upaya untuk membantu kerajaan tanpa mendapat peruntukan khusus daripada mana-mana kementerian," katanya.

Lihat Komen