malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Demi kerajaan stabil, PAS komited dengan penyatuan ummah'
ADS

PAS komited dengan pendirian bahawa penyatuan ummah adalah perkara paling penting dalam membentuk kerajaan yang kuat dan stabil, kata Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata penyatuan Islam, Melayu, bumiputera dan seluruh rakyat negara ini amat diperlukan untuk membentuk kerajaan yang kukuh.

"Sudah tentulah dalam konteks Malaysia hari ini, kita tidak boleh lari daripada parti-parti Melayu Islam. Jadi parti-parti itu perlu bersatu untuk sama-sama menjalankan fungsi pentadbiran negara dengan lebih mantap.

“Dalam konteks ini juga, kita melihat PAS sendiri selepas lama berada dalam keadaan berpuluh tahun berseteru dengan Umno tetapi demi kepentingan rakyat dan negara, pimpinan parti membuat pendirian tegas iaitu kita perlu bersatu dengan Umno dalam konsep penyatuan ummah," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama bekas pemain bola sepak Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) menjelaskan penyatuan ummah bukan eksklusif kepada PAS dan Umno sahaja.

Takiyuddin berkata dalam piagam penyatuan ummah ada dinyatakan parti yang mempunyai cita-cita membangunkan negara khususnya dalam kalangan parti Melayu, Islam dan bumiputera boleh menyertainya walaupun ketika itu hanya PAS dan Umno yang memulakan.

“Bila berlakunya pelbagai perkembangan baru dan adanya parti Melayu lain, maka PAS berpendirian bahawa ia perlu dibuka juga kepada parti lain.

“Buat masa ini, Bersatu juga parti yang sama dengan PAS dan Umno, jadi kenapa kita tidak boleh bersatu?” katanya.

Takiyuddin berkata PAS sentiasa menekankan sebab Bersatu diperlukan untuk bersama-sama PAS dan Umno malah pada masa hadapan, sekiranya ada parti lagi yang mempunyai dasar perjuangan sama untuk kepentingan Melayu, Islam dan bumiputera untuk sama-sama menyumbang bakti, ia adalah lebih baik.

“Di Sabah dan Sarawak, mereka boleh bersatu jadi kenapa parti-parti di Semenanjung seperti PAS, Umno dan Bersatu tidak boleh mendukung kerajaan sedia ada?

“Kerajaan yang ada sekarang ini didukung oleh lebih 10 parti politik bersama-sama di dalam kerajaan yang berfungsi dan kenapa kita tidak boleh bersama dalam PRU Ke-15 akan datang?

“Bagi saya, perkara ini kita akan bincang secara baik atas dasar ‘kekeluargaan’ dan saya percaya semuanya akan dapat diselesaikan secara baik. Bak kata pepatah ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’,” katanya.

Dia juga berkata perpaduan dalam kalangan parti adalah penting kerana jika kerajaan tidak mantap dan hanya mempunyai majoriti lebih sedikit daripada pembangkang, itu adalah kerajaan yang tidak stabil.

“Kita perlu ada kerajaan yang mempunyai majoriti stabil dan kukuh. PAS akan terus memperkasa Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

“Bila bercakap pasal MN, di situ akan ada PAS dan Umno, apabila bercakap soal PN, di situlah ada Bersatu, PAS dan parti-parti yang lain. Bagi PAS, berada dalam dua keadaan bukanlah sesuatu yg pelik,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen