malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Nak ambil parti, ambillah' - Syed Saddiq tak akan lengahkan usaha singkirnya dari Bersatu
Diterbitkan:  Jul 7, 2020 9:07 PM
Dikemaskini: 1:07 PM
ADS

Ketua Pemuda Bersatu (Armada) yang dipertikai Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau tidak akan melengah-lengahkan lagi langkah untuk menyingkirkannya daripada parti itu, maka akan menarik balik saman sivil terhadap pemecatannya.

"Kalau nak ambil parti, ambillah. Kalau nak buang nombor keahlian saya, buanglah. Saya tidak akan melengah-lengahkan usaha tuan-tuan sekalian.

"Saya juga akan menarik semula saman sivil terhadap kes pemecatan keahlian saya dalam Bersatu

"Apabila khidmat saya dalam Bersatu dan Armada tidak diperlukan lagi, sudah tiba masanya untuk saya pergi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bersatu mengisytiharkan keahlian Syed Saddiq dan beberapa lagi anggota Parlimen yang menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai terbatal kerana duduk di bahagian pembangkang ketika sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Mahathir, yang kedudukannya sebagai pengerusi Bersatu juga dalam pertikaian, kini dalam pergelutan kuasa dengan presiden Muhyiddin Yassin.

Hari ini, Armada mengumumkan naib ketuanya Aizad Roslan dilantik sebagai pemangku ketua.

Selain itu, Rafiq Hakim Razali akan digantikan dengan Fairuz Renddan bagi jawatan penolong bendahari, dan Ulya Aqamah Husammuddin digantikan dengan Izhar Shah Ariff Shah bagi jawatan ketua penerangan.

Syed Saddiq yang juga anggota Parlimen Muar tidak mendedahkan rancangannya yang seterusnya, namun berkata ia akan "berpaksikan negara dan anak muda".

"Saya faham jalan ini bukan senang... Mereka yang sama haluan juga akan terima nasib yang sama, diugut kiri kanan, disingkirkan jawatan dan dibuang jauh-jauh," katanya.

Bagaimanapun, katanya, perlu difahami parti politik adalah "kenderaan" untuk menjaga negara dan rakyat, bukan untuk kepentingan individu dan mencapai kemewahan.

Beliau berkata akan sentiasa menghargai pengalaman yang diraihnya sepanjang di dalam Armada dan Bersatu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen