malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pengarah Komunikasi PKR Melaka dakwa kena pecat
ADS

Pengarah Komunikasi PKR Melaka, G Rajendran mendakwa dia dilucutkan jawatannya kerana mendedahkan kononnya negeri itu mungkin menjadi negeri pertama mewujudkan kerajaan campuran baru Pakatan Nasional.

Katanya, beliau menerima surat makluman mengenai penamatan pelantikannya sebagai pengarah komunikasi PKR Melaka berkuat kuasa serta merta, pagi tadi. Surat itu ditandatangan oleh Pengerusi PKR Melaka Halim Bachik.

"Yang pelik, surat itu bertarikh 17 Februari memberitahu bahawa mesyuarat biro politik PKR Melaka membuat keputusan pada 13 Februari untuk menamatkan perlantikan saya.

“Tetapi, saya hadiri atau dibenarkan menghadiri mesyuarat bulanan majlis pimpinan negeri pada 14 Feb," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

"Jadi, bagaimana saya dibenarkan menghadiri mesyuarat bulanan kalau saya dipecat sebagai pengarah komunikasi serta-merta pada 13 Feb. Kenapa saya tidak diberitahu tentang penamatan lantikan saya dalam mesyuarat itu?" soalnya.

Pada Isnin lalu, Rajendran mendakwa bahawa Umno, PAS dan beberapa pemimpin PKR sedang berusaha mendapatkan sokongan ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan baru dan mengekalkan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sepanjang penggal pilihan raya umum ke-14.

Katanya, terdapat perbincangan oleh beberapa pemimpin PKR dan Bersatu negeri Melaka untuk mewujudkan kerajaan negeri baru bersama Umno.

Menurutnya, beliau juga hanya dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp MPN negeri pada 17 Februari selepas membuat kenyataan media bahawa wujudnya usaha di kalangan pemimpin PKR dan Bersatu bersama Umno untuk mengulingkan Ketua Menteri Adly Zahari.

Adly Zahari, Ketua Menteri Melaka

"Saya tidak kata pengerusi negeri PKR atau majlis pimpinan PKR negeri terlibat. Saya dalam kapasiti peribadi hanya kata bahawa ada segelintir pemimpin PKR terbabit.

“Kenapa PKR Melaka sangat panik sehingga pecat saya? Jadi, rakyat faham-faham sahajalah," katanya sambil menambah bahawa cubaan membentuk Pakatan Nasional bukan isu dalaman PKR.

Susulan pendedahan Rajendran itu, ketua pembangkang Melaka, Idris Haron berkata, kemelut kerajaan negeri yang dikaitkan dengan spekulasi kemungkinan berlaku perubahan kerajaan adalah disebabkan oleh tindakan exco yang sibuk menjual diri untuk menjadi ketua menteri.

Menurut bekas ketua menteri Melaka itu, Umno BN tidak terbabit dengan sebarang usaha mengambil alih kerajaan negeri melalui pintu belakang dan inisiatif berkenaan berpunca dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) sendiri.

Pakatan Nasional bukanlah nama bagi sebuah gabungan rasmi, sebaliknya dilabel bagi menggambarkan kerjasama sebahagian parti Pakatan Harapan dengan BN dan PAS.

Isu Pakatan Nasional muncul sejurus selepas bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam, mendedahkan wujudkan usaha presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi, untuk mendapatkan sokongan bagi bekerjasama dengan Mahathir.

Rajendran berkata kerajaan negeri Melaka tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi sehingga hari ini untuk menyangkal dakwaannya itu.

"Saya cabar semua 13 Adun PH (tidak termasuk Adun Gadek yang kini dalam tahanan Sosma) khususnya Adun PKR dan Bersatu di Melaka untuk membuat surat akuan (SD) agar menyatakan sokongan kepada Adly untuk kekal sebagai ketua menteri untuk sepenggal," katanya .

PH menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dengan 15 kerusi berbanding BN yang memiliki 13 kerusi.

Daripada 15 kerusi PH itu, lapan dimenangi oleh DAP, PKR (3) manakala Amanah dan Bersatu masing-masing menang dua kerusi pada PRU14 lalu.

Semua kerusi BN di Melaka milik Umno.

Malaysiakini sudah menghubungi Adly dan pemimpin PKR dan Bersatu untuk mendapatkan ulasan mereka.


Lihat Komen