BERITA

Spekulasi sertai k'jaan: PAS belum terima apa-apa tawaran, kata Takiyuddin

M Fakhrull Halim

25 Jan 2020, 7:29 pagi

Dikemaskini 2 bulan lepas

A
+
A
-

Susulan tersebarnya gambar pertemuan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar baru-baru ini, timbul sejumlah spekulasi termasuklah penyertaan parti itu dalam kerajaan PH.

Bagaimanapun bagi Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, ia bukanlah satu perkara yang mudah dan malah parti itu belum menerima apa-apa tawaran rasmi.

"Ia bergantung pada tawaran. Setakat ini kita belum terima apa-apa (tawaran) dari kerajaan. Bila bercakap soal kerajaan pusat, maknanya kerajaan PH, bukan PM (perdana menteri) seorang.

Lainlah ceritanya kalau kamu (pemberita) kata dijemput oleh PM untuk sertai kerajaan pusat...Itu belum terjadilah. Hanya tanggapan orang ramai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Wisma MCA, Jalan Ampang di Kuala Lumpur.

Takiyuddin berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung khabar angin selepas tersebarnya gambar pertemuan itu.

Turut ada dalam pertemuan itu ialah Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Khairuddin Abu Hasaan, yang dilihat sebagai penyokong kuat Mahathir.

Abdul Hadi telah menafikan dakwaan pihaknya membuat permohonan untuk menyertai kerajaan PH dalam pertemuan itu, sebaliknya berbincang "urusan negeri" yang diperintah PAS.

"Kita tak campur hal lain dan kita tak ada hasrat nak masuk PH," kata Abdul Hadi.

Untuk rekod, ia bukanlah pertemuan pertama Hadi dan Samsuri dengan Mahathir selepas kemenangan PH pada PRU ke-14.  

Ketika ditanya pemberita sama ada PAS ada menerima jemputan sedemikian daripada Mahathir, Takiyuddin berkata "tidak secara rasmi."

Apabila ditanya apakah ia bermakna ada jemputan secara rasmi, Takiyuiddin menjawab:

"Secara tak formal (rasmi), kami secara terbuka isytihar parti kami akan bekerjasama dan menyokong Mahathir sebagai perdana menteri sehingga habis penggal," katanya.

PAS kini bekerjasama dengan BN menerusi Muafakat Nasional yang dimeterai September lalu.

'Lihat sejarah kerjasama PAS'

Jawatankuasa teknikal Muafakat Nasional, yang antara lain membincangkan sama ada ia akan menjadi badan berdaftar atau tidak, dijangka mengeluarkan laporannya bulan depan.

Mengulangi kerjasama itu turut merangkumi merangkumi Gagasan Sejahtera dan parti komponen BN, Takiyuddin berkata kemungkinan besar mereka akan bersama sebagai satu pasukan dalam PRU ke-15.

Pada masa sama ketika ditanya pemberita, beliau berkata PAS tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan parti lain, termasuk Bersatu yang dikemudi Mahathir.

"Anda boleh lihat sejarah kami dengan BN, DAP, PKR. Ia tak mustahil kami boleh bekerjasama dengan parti Mahathir," katanya lagi, sambil menekankan PAS boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak yang "jujur dan ikhlas demi kepentingan rakyat dan negara".

Berhubung kerjasama semula dengan DAP, Takiyuddin membayangkan hanya masa yang dapat menentukannya.

"Tunggulah masanya (bila ia terjadi). We cross the bridge when we get to it ( Perkara itu hanya akan diuruskan apabila dan jika ia benar-benar terjadi)," katanya lagi.