malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bersatu bakal adakan pemilihan parti bermula 25 Januari ini
Diterbitkan:  Jan 3, 2020 4:08 PM
Dikemaskini: 8:08 AM
ADS

Parti Bersatu dijangka bakal mengadakan pemilihan barisan jawatankuasa seiring dengan mesyuarat tahunan dan cawangan bermula 25 Januari hingga 4 April ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Syed Hamid Albar.

“Adalah dimaklumkan bahawa sempena persidangan cawangan tersebut, Bersatu akan mengadakan pemilihan barisan jawatankuasa di peringkat cawangan, bahagian dan majlis pimpinan tertinggi (MPT) termasuk sayap-sayap Srikandi dan Armada buat julung-julung kalinya,” kata Syed Hamid dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelasnya, pada persidangan cawangan, ahli parti akan memilih jawatankuasa masing-masing dan diteruskan dengan jawatankuasa bahagian di cawangan itu berada.

Setelah itu, jawatankuasa bahagian pada persidangan akan memilih majlis pimpinan tertinggi parti di peringkat pusat pula.

Tambah Syed Hamid, proses yang sama akan dilakukan bagi pemilihan Armada dan Srikandi juga.

Selain itu, Syed Hamid juga berkata ahli parti di peringkat cawangan yang ingin bertanding dalam pemilihan tidak perlu mendaftarkan pencalonan mereka selagi mereka adalah ahli yang sah

Bagaimanapun, mereka yang ingin bertanding di peringkat bahagian perlu mendaftarkan pencalonan mereka kepada petugas jawatankuasa pemilihan parti di pejabat bahagian masing-masing pada 13 Januari dari 9 pagi hingga 2 petang.

“Hanya calon-calon yang disahkan oleh jawatankuasa pemilihan parti akan dimasukkan ke dalam senarai calon untuk diedarkan kepada ahli-ahli semasa pemilihan sempena persidangan cawangan-cawangan,” katanya lagi.

Beliau juga menggesa anggota untuk menyemak status keahlian parti mereka yang akan dipaparkan di pejabat bahagian dan cawangan bermula 7 Januari hingga 12 Januari ini.

Ini kerana, tambahnya, jawatankuasa pemilihan parti hanya akan mengakui senarai ahli yang layak untuk menghadiri mesyuarat cawangan seperti yang dikeluarkan oleh ibu pejabat Bersatu yang disahkan oleh Setiausaha Agung parti.

Terdahulu, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata pemilihan untuk jawatankuasa tertinggi parti akan diadakan semasa mesyuarat agung tahunan mereka pada Jun tahun ini.

Lihat Komen