Pengiklanan

    Adun Bersatu mohon duduk sebelah pembangkang di DUN S’gor

    (Dikemaskini )
    Lu Wei Hoong  |  Berita

    Anggota Dewan Undangan Negeri Jeram Mohd Shaid Rosli daripada Bersatu mengumumkan mahu duduk di barisan pembangkang dalam sidang Dewan Selangor akan datang.

    Tindakan itu dibuat sebagai protes simbolik kepada Adun Sungai Pelek Ronnie Liu daripada DAP yang mengkritik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Bersatu.

    “Saya sudah buat surat.

    “Nanti (saya) bagi tuan speaker untuk minta tuan speaker (duduk sebelah pembangkang) sebagai tanda protes Ronnie Liu,” kata Mohd Shaid kepada Malaysiakini.

    Bagaimana pun beliau berkata tindakan itu tidak bermaksud beliau menyertai Umno.

    “Tak adalah. Bukan masuk Umno. Duduk sebelah blok pembangkang tanda saya protes,” katanya.

    Malaysiakini difahamkan surat itu dihantar ke pejabat speaker Ng Suee Lim awal petang ini.

    Dewan Selangor akan bersidang semula bermula 1 November. Menteri Besar Amirudin Shaari dijangka membentangkan belanjawan negeri bagi tahun 2020.

    Ronnie Liu 

    Sementara itu, Ketua Pembangkang Rizam Ismail mengalu-alukan kedatangan Mohd Shaid di blok pembangkang.

    “Saya dihubungi oleh YB Mohd Shaid Rosli yang mana beliau bersedia menjadi pembangkang pada sidang dewan nanti kerana sudah tawar hati dan berasa sangat kecewa dengan kenyataan Ronnie Liu dari parti DAP.

    “Beliau juga menyatakan bahawa sudah berasa tawar hati untuk bekerjasama dengan parti DAP itu yang kini dilihat semakin bermuka muka dan sudah menunjukkan wajah sebenar parti DAP yang sejak dulu lagi kita kenal bersifat rasis.

    “Saya menerima dengan hati terbuka jika benar Mohd Shaid sanggup meninggalkan Pakatan Harapan yang sedang berkuasa demi mempertahankan apa yang beliau rasa benar.

    “Ini sangat baik bagi pihak pembangkang menambah ahli untuk proses semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan Selangor,” katanya.

    ‘Pergolakan lemahkan negeri’

    Rizam juga menggesa Pakatan Harapan memfokuskan kepada pentadbiran negeri, bukannya pergolakan parti.

    “Apa yang menjadi keutamaan saya hari ini adalah segala kepentingan rakyat negeri Selangor ini haruslah diperjuangkan terutamanya kebajikan rakyat harus sentiasa dijaga.

    “Saya yakin dan percaya bahawa jika benar hubungan antara parti parti di dalam Harapan bergolak maka itu adalah perkara yang akan melemahkan pentadbiran negeri sebenarnya.

    “Kerana apa? Kerana mereka semua tidak habis habis berpolitik dan langsung tidak menumpukan perhatian kepada urus tadbir kerajaan negeri.”

    Rizam Ismail 

    Dalam satu rencana bertajuk "Mahathir: The paper tiger” (Mahathir: Harimau Kertas) semalam, Liu berkata ketika Harapan sedang mengetengahkan agenda pelbagai kaum, Dr Mahathir sebaliknya mengejar model parti dominan Melayu ala-BN.

    Liu memberi contoh tindakan Dr Mahathir menerima bekas pemimpin Umno dalam Bersatu, selain mempersoalkan berhubung ketiadaan tarikh jelas peralihan kuasa perdana menteri.

    Malam semalam, Mohd Shaid menyifatkan bahawa kenyataan Liu sebagai "keterlaluan dan sudah melampaui batas" sehingga boleh menjejaskan hubungan dan kerjasama antara parti di dalam PH.

    Katanya, kenyataan Liu itu mempersoalkan kredibiliti Dr Mahathir.

    Beliau malah menyatakan kesediaannya keluar daripada kerajaan PH di Selangor sekiranya Ronnie Liu tidak menghormati kepimpinan tertinggi PH.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih