malaysiakini logo
story-image
ADS

Pelantikan pemimpin Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) menerajui syarikat berkaitan kerajaan atau badan berkanun bukanlah suatu yang perlu dirisaukan, kata Pengarah Strategi Bersatu, Dr Rais Hussin Mohamed Ariff .

Jelas Rais, perkara yang perlu dibimbangkan orang ramai adalah sekiranya orang seperti bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji, Abdul Azeez Abdul Rahim dilantik menerajui GLC.

"Kita harus melihat ia secara holistik, ia bukan lantikan seperti pengerusi (Lembaga) Tabung Haji (Abdul Azeez) yang tidak ada pengalaman dan daya saing.

"Saya fikir kalau kita lihat kepada ketiga-tiga lantikan tersebut mereka adalah golongan profesional. Lihat (peguam) Haniff Khatri Abdulla, dia adalah peguam profesional, sangat berkelayakan dan peguam yang berpengalaman.

"Lihat Sukiman Sarmani, dia bukan saja seorang doktor tetapi juga profesor emeritus dan kita lihat Akhramsyah (Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi), dia sangat berkelayakan dan merupakan pengarah urusan di Shell Malaysia," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian mengulas kritikan anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berhubung lantikan pemimpin Bersatu menerajui badan berkaitan kerajaan yang dibuat Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar, Rina Harun.

Khairy dalam kenyataan di Twitternya, mengingatkan janji Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto untuk memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah dari kalangan golongan profesional, dan bukan berdasarkan kaitan politik.

"Malaysia Baru... Mungkir janji sejak 10 mei 2018," katanya.

Terdahulu, Rina mengumumkan pelantikan dua anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Sukiman dan Akhramsyah yang masing-masing menerajui Universiti Teknikal Mara (Unitek-Mara) dan Mara Corporation Sdn Bhd.

Haniff Khatri, peguam yang pernah mewakili Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pula dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

Sumbangan kepada negara

Rina dalam satu kenyataan berkata cadangan berkenaan diajukan oleh pihaknya dan telah mendapat persetujuan perdana menteri.

Mengulas lanjut, Rais berkata perkara yang penting buat masa ini adalah untuk fokus kepada perkara yang lebih utama dalam GLC terlibat.

"Kenapa perlu bimbang dengan lantikan tersebut? Kita sepatutnya perlu memberi tumpuan kepada perkara yang lebih utama dan jangan hanya kerana mereka profesional dan aktif dalam politik (mereka tidak boleh terajui GLC) dan mengecualikan mereka daripada diberikan apa-apa kedudukan serta tanggungjawab yang boleh menyumbang kepada negara," katanya.

Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya

Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya ketika dihubungi berkata pelantikan pemimpin Bersatu dalam GLC dibuat sepenuhnya berdasarkan kelayakan individu terlibat.

"Saya rasa semua yang dilantik berkelayakan, tak semestinya yang dilantik itu ahli politik, tak boleh pegang jawatan dan sesuai dan boleh jalankan tanggungjawab, saya rasa tak ada maslaah.

"Dia dah dilantik, tak ada masalah. Prof Sukiman dan Akhramsyah, kedua-duanya orang akademik dan selagi mereka tak langgar undang-undang, tak lakukan ketirisan dalam pentadbiran, selagi itu kita tak boleh menghukum," katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil yang ditemui Malaysiakini malam tadi di Kuala Lumpur berkata pihaknya belum sempat bertanyakan perkara itu kepada anggota Parlimen Titiwangsa.

Namun, Fahmi amat berharap individu yang dilantik dapat menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan sebaik mungkin.

“Saya belum sempat bertanya untuk dapatkan maklumat lebih lanjut tapi saya harap mereka dapat laksana tugas dengan baik.

“PKR mengharapkan mereka mampu memberi perkhidmatan terbaik dan kerana ini mereka dipilih,” katanya.

Bagaimanapun, kata Fahmi sekiranya mereka yang dilantik gagal menjalankan amanah yang diberikan mereka wajar diganti.

“Saya rasa kita lihat kelayakan, sekiranya mereka tidak mampu memberikan perkhidmatan terbaik maka kita tukar nanti,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!