Pengiklanan

    Pemuda Bersatu Perlis pertahan Wan Saiful

    (Dikemaskini )
    Berita

    Pemuda Bersatu Perlis hari ini menyuarakan sokongan terhadap Wan Saiful Wan Jan yang digugurkan daripada jawatan setiausaha Bersatu negeri itu.

    Pergerakan itu juga menggesa pimpinan parti dan pihak berkuasa menyiasat dakwaan Wan Saiful yang juga pengerusi PTPTN berkenaan salah guna kuasa Bersatu Perlis.

    Ketuanya Syazwan Fahmi berkata pengguguran Wan Saiful sebagai tidak profesional kerana menurutnya kepimpinan negeri tidak melalui proses yang betul.

    "(Kepimpinan negeri) Tidak boleh sewenang-wenangnya menggugurkan mana-mana kepimpinan tanpa mendapatkan penjelasan daripada orang yang hendak diambil tindakan itu," katanya dalam kenyataan.

    Syazwan Fahmi

    Ketika dihubungi Malaysiakini, Pengerusi Bersatu Perlis Ameir Hassan berkata Wan Saiful digugurkan kerana "sibuk sangat dalam kemelut PTPTN" dan ingin mengurangkan beban tugasnya.

    Wan Saiful kemudian mengeluarkan kenyataan mendakwa berlaku pemalsuan dokumen melibatkan tuntutan ratusan ribu ringgit di pejabat Bersatu Perlis.

    Beliau juga mendakwa telah membuat laporan polis berhubung perkara itu tetapi digesa menarik baliknya.

    Berhubung dakwaan itu, Syazwan berkata siasatan perlu dibuat secara telus oleh pimpinan pusat dan pihak berkuasa.

    "Laporan polis yang dibuat mengenai sesetengah pimpinan Bersatu Perlis perlu dibawa ke muka pengadilan. Siasatan daripada pihak polis perlu dijalankan," katanya lagi.

    Menurutnya, Pemuda Perlis sendiri sudah membuat laporan dibuat terhadap lembaga disiplin parti sebelum ini tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

    Hannaan Khairy

    Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Perlis Hannaan Khairy menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan Wan Saiful yang menurutnya "perkara yang serius".

    Beliau yang juga Exco Pemuda Bersatu juga berkata kepimpinan negeri perlu lebih profesional dan tidak menjadi Umno yang menurutnya sewenang-wenangnya membuang individu daripada kepimpinan parti.

    "Perkara ini akan lebih meruncing apabila kita menghampiri pemilihan kelak. Kuasa yang digunakan oleh pengerusi negeri ini membuatkan seolah-olah mereka ini kebal.

    "Kita mohon supaya polis dapat membuat siasatan lanjut (dakwaan Wan Saiful) tanpa mengambil kira pangkat seseorang itu dalam parti politik," katanya.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih