malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Mampukah Bersatu ancam status quo politik Sarawak?
ADS

Barisan menteri kabinet, termasuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, berkunjung ke Bintulu hujung minggu lalu untuk melancarkan Bersatu di Sarawak.

Sekian lama Umno tidak pernah mengembangkan sayapnya di Bumi Kenyalang itu.

Bersatu - yang baru berusia dua tahun - akan dilihat sebagai pesaing langsung kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Bekas komponen BN itu pada masa ini 'abang besar' dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Malaysiakini bercakap dengan sejumlah penduduk tempatan untuk melihat sentimen mereka dan untuk memastikan sama ada Bersatu mampu memberi ancaman kepada status quo politik negeri itu.

Peniaga Iban yang hanya mahu dikenali sebagai Linda, 45, mengalu-alukan langkah itu.

Linda

"Saya fikir bagus Bersatu ada di sini, kita akan ada pilihan. Sesetengah pemimpin sudah terlalu lama dalam kerajaan.

"Bagus andai dapat melihat perubahan di Sarawak," katanya yang ditemui di Pasar Tamu, Bintulu.

Bagaimanapun seorang peniaga Melayu , Beena, tidak bersetuju dengan pandangan itu dan mempersoalkan tujuan Bersatu untuk bertapak di Sarawak.

"Saya tidak tahu apa niat mereka. Saya gembira lihat Tun (Dr Mahathir) datang ke Bintulu. Tetapi untuk Bersatu ada di Sarawak, saya tak tahu tentang mereka.

"Saya hanya tahu Bersatu adalah sebahagian daripada PH tetapi tak pasti apa pendirian parti itu," katanya yang berusia 56 tahun.

Beena

Beena sempat mengenang bekas ketua menteri Allahyarham Adenan Satem yang menurutnya sering ke Pasar Tamu untuk membeli belacan dan barangan keperluan lain.

"Ketika jadi ketua menteri, Tok Nan datang ke sini. Dia seorang yang rendah diri dan dihormati semua. Malangnya kita kehilangan pemimpin yang bagus sepertinya," katanya lagi.

'Tempatan atau semenanjung bukan soal'

Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Connie berkata, beliau memilih perubahan pada PRU lalu.

"Rakyat mahu melihat perubahan yang lebhi baik, ia bukan hanya untuk tukar (kerajaan). Kami mahu pentadbiran yang lebih baik.

Connie

"Tidak penting sama ada mereka (parti) dari Semenanjung atau tempatan, pemimpin perlu telus dan bertanggungjawab. Mereka perlu bersih," katanya.

Majlis pelancaran Bersatu Sarawak turut dihadiri penduduk tempatan. Salah seorangnya ialah Kalom Ujak, seorang Iban yang bekerja sebagai pemandu e-hailing.

Ketika ditemui Malaysiakini, Kalom berkata kehadiran Bersatu memberikan pilihan kepada pengundi pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

"Kini kami ada lebih pilihan berbanding sekian lama dengan satu pilihan saja.

Pada PRN 2016, BN menang 72 daripada 82 kerusi. Namun PRU ke-14 menyaksikan peralihan sokongan di peringkat Parlimen.

Persoalan kini adalah sama ada Bersatu dan PH mampu mengulanginya pada PRN akan datang?

Lihat Komen