malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Azmin: Dulu Najib curi berbilion MCA tak semak dan imbang
ADS

PRK BALAKONG | Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata MCA bukan sahaja patut dikalahkan tetapi ditewaskan dengan majoriti yang besar.

Menurut beliau, ini bagi menghantar mesej kepada parti gabungan BN itu bahawa "enough is enough" (sudah habis kesabaran).

Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi mengulas janji MCA untuk memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan yang dipimpin HARAPAN.

"Kamu tidak semak dan imbang ketika berkuasa.

"Apabila Najib mencuri berbilion (ringgit), kamu tidak semak dan imbang... Sekarang kamu mahu semak dan imbang, sudah terlambat. Kita perlu tolak MCA," kata Timbalan Presiden PKR itu berucap di suatu majlis ceramah kempen pilihan raya kecil Balakong.

Terdahulu, Anggota Parlimen Damansara Tony Pua ketika berucap berkata syarat untuk memberikan peluang kedua kepada MCA adalah dengan parti itu memohan maaf dan mengakui kesilapannya.

"Ada kita dengan (Presiden MCA Datuk Seri) Liow Tiong Lai minta maaf kerana sokong (Datuk Seri) Najib (Razak)?" Soal beliau kepada khalayak yang menjawab, "tidak."

Setakat berita ini ditulis sekitar 600 hadirin mendengar majlis ceramah yang diadakan di Kampung Baru Batu 11, Balakong.

Pilihan raya kecil Balakong menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon MCA, Tan Chee Teong dan calon HARAPAN Wong Siew Ki. Hari pengundian bakal berlangsung pada 8 September ini.

DAP yang menjadi parti komponen HARAPAN telah memegang kerusi Dewan Undangan Negeri itu sejak 2008.

Kerusi itu kosong selepas ADUN penyandang Ng Tien Chee meninggal dunia dalam kemalangan kereta.

Ng menang besar DUN Balakong pada pilihan raya umum lalu dengan mendapat 41,768 undi manakala PAS dan MCA tewas serta kehilangan deposit dengan masing-masing memperoleh 6,230 undi dan 5,874 undi.

Lihat Komen