malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Calon PAS nampak ada sinar cerah di Langkawi
ADS

PRU14 | Calon PAS bagi kawasan parlimen Langkawi, Zubir Ahmad, melihat ada potensi cerah untuk parti itu melakar kemenangan di pulau Mahsuri berkenaan.

Menurut Zubir, di sebalik nama-nama besar yang bertanding di Langkawi, ada kelebihan yang memihak kepada PAS.

Katanya ahli perniagaan itu, kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad ke Langkawi adalah sebagai ahli politik veteran yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

"Dr Mahathir akan menarik lebih daripada 25 peratus sokongan pengundi Umno," katanya yang turut berdepan penyandang kerusi Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad.

Dalam keadaan sokongan pengundi Umno berpecah antara Dr Mahathir dan Nawawi, di situlah Zubir melihat PAS mempunyai peluang.

“Kalau 25 peratus dia (Dr Mahathir) tarik, dia (jadi) macam papan jungkit.

"Dia akan terompong (turun atau berkurangan) di sana, dia akan naik (meningkat) di sini.

"Jadi PAS mengambil peluang ini dan melihat kepada suasana pada hari ini dan situasi politik semasa, bermakna PAS mempunyai harapan ataupun peluang yang cerah," katanya.

Calon yang bertenaga

Zubir dinamakan sebagai calon PAS mewakili Gagasan Sejahtera untuk menghadapi pertarungan Dr Mahathir dan Nawawi pada PRU ke-14 yang diadakan pada 9 Mei ini.

Ia diumumkan sendiri Pesuruhjaya PAS Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurrazi (gambar) di Kota Sarang Semut.

Dr Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) jika gabungan empat parti pembangkang utama itu berjaya mengetepikan BN buat kali pertama dalam sejarah.

Pada 16 April lalu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjanjikan Gagasan Sejahtera akan menurunkan calon yang "bertenaga" bagi menghalang kemenangan mudah Dr Mahathir atau Nawawi.

Tanggapan awal daripada kenyataanitu ialah Gagasan Sejahtera akan diwakili tokoh dari Parti Ikatan Rakyat Malaysia (IKATAN) yang dipimpin bekas menteri kanan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Beberapa hari kemudian Abdul Kadir memberitahu Malaysiakini, IKATAN tidak bercadang mahu meletakkan calon di Langkawi dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada pimpinan PAS lebih awal.

Zubir pernah bertanding di kawasan parlimen Langkawi pada PRU ke-11 (2004) dan berdepan dengan Datuk Abu Bakar Taib. Ketika itu Zubir - seorang ahli perniagaan makanan laut - mendapat 5,738 undi manakala Abu Bakar 16,510 undi.

Majoriti yang memisahkan mereka ialah 10,772 undi.

Pada PRU ke-12 Abu Bakar dicabar calon PKR, Wan Salleh Wan Isa, namun BN kekal di Langkawi walaupun jumlah majoriti yang dimenangi menurun kepada 4,970 undi.

Pada PRU ke-13 Nawawi (gambar) mengalahkan Ahmad Abdullah (PKR) dan calon bebas Marina Hussein dengan majoriti 11,861 undi.

Data terkini menunjukkan Langkawi mempunyai 37,536 pengundi berdaftar dengan 91 peratus adalah Melayu berbanding Cina 6 peratus, India 2 peratus dan lain-lain 1 peratus.

Lihat Komen