malaysiakini logo
story-image
ADS

Selepas dituduh buat pusingan-U berhubung janji pilihan raya Pakatan Harapan (HARAPAN), pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad bertegas bahawa semua janji itu dapat dilaksanakan.

"Janji yang kita buat dalam manifesto sudah dikaji secara terperinci sama ada kita boleh laksana atau tidak. Ada perkara yang popular tapi kita tak boleh laksana, jadi kita tak janji (hal-hal sebegitu)," katanya.

"Apa yang kita janji dalam manifesto dapat dilaksanakan," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian sebagai mengulas ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak awal hari ini yang menyelar pembangkang kerana mengaku tidak dapat melaksanakan janji pilihan raya mereka selepas melancarkan manifesto itu pada 8 Mac lalu.

Najib dikatakan merujuk laporan akhbar Singapura Sunday Times pada 25 Mac yang memetik Dr Mahathir sebagai berkata HARAPAN mungkin tidak dapat memenuhi janji-janjinya.

"Kadang-kadang saya rasa mungkin kita tidak dapat menunaikan janji-janji ini. Parti kami, rakan pakatan kami, mereka sangat sosialis. Mereka suka memberi kepada rakyat.

"Saya beritahu mereka itu tidak boleh. Mahu mansuhkan semua tol? Saya cakap, kita perlu baiki jalan. Kita perlu buat lebih banyak jalan.

"Dari mana nak dapat duit kalau mahu bina jalan ini sendiri? Tapi mereka mahu populariti, jadi mereka cenderung berjanji seperti ini," kata Dr Mahathir dipetik sebagai berkata.

Ketika ditanya sama ada beliau manuduh Sunday Times salah lapor kenyataannya, Dr Mahathir menjelaskan beliau hanya memberi pendapat tentang janji HARAPAN memansuhkan semua tol lebuh raya.

"Antara kami, ada sedikit perbezaan pendapat, tapi saya ada pengalaman dengan tol. Saya berpendapat kita tidak boleh janji hal seperti itu.

"Sebab itu apabila ditanya, saya tidak bersetuju tol dimansuhkan. Tanpa tol, kita tidak boleh baiki jalan, dan kita tidak boleh bina jalan baru. Kita minta sektor swasta yang buat, tapi mereka tidak akan buat kecuali mendapat pulangan."

"Sebab itu saya bimbang, dan apa yang saya katakan hanyalah kebimbangan saya," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen