malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Pemimpin pembangkang di Johor mula cemas. Pelbagai perkara saat ini sedang meresahkan kem pembangkang di Johor.

Sejak diumumkan kepimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor, satu demi satu perbalahan serta percakaran sesama sendiri berebut kerusi-kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi PRU-14 kelak.

Tambah menarik, PKR sendiri sedang terperangkap dalam konflik yang mereka cipta sendiri bersama PAS.

Pergolakkan PKR juga secara terang mencerminkan bahawa parti yang diasaskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ini sedang bergolak di lautan bergelora tanpa nakhoda kapal yang mampu mengawal situasi hari ini.

Sudah tentu jika dilihat, seruan dan setiap arahan Anwar Ibrahim sentiasa dituruti oleh kepimpinan PKR.

Apa yang mengejutkan, warkah kali ini bukan sahaja tidak diendahkan malah membuka mata rakyat pada hari ini bahawa PKR sudah tidak lagi memerlukan suara Anwar Ibrahim.

Bukan sahaja ahli PKR berani ingkar, malah Tun Mahathir Mohamad selaku Pengerusi HARAPAN sudah mempunyai kuasa veto untuk menidakkan sebarang cubaan bergabung semula bersama PAS.

Senang kata, mesej yang HARAPAN mahu sampaikan kepada Anwar Ibrahim ialah; Duduk penjara diam-diamlah, jangan kacau kerja kami dalam Pakatan Harapan!

Gelombang pemberontakan pembangkang kini merebak sehingga ke negeri Johor.

Pengumuman struktur HARAPAN Johor benar-benar mengejutkan.

Jika dilihat pada gerak kerja pembangkang di Johor, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) antara parti yang bekerja keras bagi membuktikan mereka layak menerajui pembangkang Johor.

Selepas dibuang rakyat Kelantan, Salahuddin Ayub kembali semula ke Johor dengan harapan mendapat tempat di sini.

Malangnya, selepas berhempas pulas, beliau bukan sahaja tidak dipilih sebagai pengerusi HARAPAN Johor.

Malah lebih malang, hanya diletakkan sebagai pengarah pilihan raya HARAPAN Johor sahaja.

Selain itu, DAP juga sudah mula mencetuskan suasana tegang bersama PKR apabila secara terbuka mahukan kerusi PKR di Parlimen Johor Bahru, Pasir Gudang dan Tebrau.

Langkah ini seolah-olah menunjukkan DAP sedang cuba menguasai kerusi-kerusi di bandar besar Johor.

Langkah tersusun DAP bagi menjadikan Johor sebagai Pulau Pinang kedua dengan sudah tentu orang Melayu yang tinggal di bandar Johor bakal terjejas jika ‘pembersihan’ bakal dilaksankan jika kerusi-kerusi ini jatuh ke tangan DAP.

Kepulangan Muhyiddin

Hari ini. Malam ini. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bakal menyambut ulang tahun pertama parti tersebut di Bakri, Muar, Johor.

Maka pada malam ini akan berkumpul pemimpin-pemimpin yang sentiasa menghina dan tidak senang dengan kemajuan dan pembangunan Johor.

Datang dengan niat dan tujuan mahu menghasut dan memecah belahkan keharmonian dan muafakat rakyat Johor.

Paling penting, gerakan ini bakal diketuai oleh bekas menteri besar yang kini presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kepulangan semula Muhyiddin sebagai ketua pembangkang Johor juga disambut penuh dendam oleh rakyat Johor.

Bangsa Johor rasa begitu dikhianati dengan segala pengkhianatan beliau sepanjang tempoh beliau mentadbir negeri ini.

Johor tidak pernah lupa, apatah lagi aman dengan segala apa yang telah beliau lakukan ini kepada negeri Johor. 

Antara dakwaan terhadap Muhyiddin semasa beliau mentadbir Johor ialah: 

 1. Muhyiddin menguruskan Amanah Saham Johor (ASJ) sehingga mengalami kerugian lebih RM500 juta. Kesemua pelabur ASJ ini orang Melayu dan mereka mereka menanggung hutang.

2. Muhyiddin melalui Cahaya Baru Development Berhad (CBDB) telah memperdaya 431 peneroka Felda. Peneroka Felda Cahaya Baru hilang tanah dan menjadi miskin!

3. Muhyiddin individu yang bertanggungjawab menukarkan hari cuti negeri Johor daripada hari Jumaat kepada hari Ahad sehingga mendapat bantahan yang luar biasa dari rakyat Johor termasuk dari pihak Istana Johor.

4. Muhyiddin bersekongkol bersama Tun Mahathir sehingga kegagalan projek JB Waterfront City yang mengalami kerugian 6.3 billion

5. Muhyiddin menggadai tanah seluas 21,600 hektar semata-mata mahu membina kawasan tadahan air milik Singapura yang dimiliki oleh Public Utilities Board (PUB) iaitu Lembaga Awam Air Singapura.

Selamat datang TSMY ke Johor. Johor tidak pernah lupa.


Fikri Allaudin merupakan aktivis Persatuan Pemikir Muda Johor.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

 

Lihat Komen