malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda PKR: Pelaku tak hormat Dr M, isteri
Diterbitkan:  Aug 14, 2017 11:15 AM
Dikemaskini: 3:59 AM
ADS

Pelbagai pihak mengecam keganasan yang berlaku ketika Forum Nothing to Hide 2 petang semalam, terutamanya provokasi terhadap bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya.

"Apa yang berlaku di forum tersebut tidak normal. Tiada orang waras akan menjustifikasikan pergaduhan dan pembakaran suar (flare) di forum awam tidak kira apa sebab.

"Selain itu, tindakan ini menggambarkan rasa tidak hormat terhadap Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Dr Siti Hasmah Mohd Ali," kata Ketua Pemuda PKR (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Katanya, mereka yang bertanggungjawab patut malu dengan perbuatan mereka dan menggesa polis mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab.

"Pihak polis mesti menjalankan siasatan mendalam terhadap kejadian tersebut dan mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab tanpa kecuali," katanya.

Forum semalam dianjurkan parti serpihan Umno, BERSATU yang kini menjadi sebahagian daripada pembangkang.

Acara itu menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjelaskan skandal 1MDB yang dikaitkan dengan pengubahan wang haram di luar negara. Bagaimanapun Najib tidak hadir pada progam itu.

Acara yang bermula pada jam 3 petang itu kemudian bertukar menjadi ganas pada kira-kira jam 5.30 petang ketika Mahathir berucap kepada orang ramai.

Bukan budaya rakyat Malaysia

Sementara itu Setiausaha Agung Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas), S Barathidasan berkata kejadian itu menimbulkan kebimbangan mengenai soal keselamatan di negara ini.

Katanya pihaknya turut berasa sedih apabila seorang tokoh yang disegani di dalam dan luar negara dibaling objek seperti kerusi, kasut dan botol air ke arahnya.

"MIPAS sungguh kesal terhadap insiden tersebut di mana ia bukanlah budaya dan sikap rakyat Malaysia yang kaya dengan sikap saling hormat menghormati, bertutur dengan sopan, budi pekerti, bertolak ansur dan mengamalkan nilai-nilai murni serta ciri masyarakat bertamadun tinggi.

"Walaupun kita tidak suka seseorang itu, mempunyai perasaan marah dan benci tapi jangan lah sampai nak baling kerusi, kasut dan sebagainya terhadap seseorang itu," katanya.

Sehubungan itu beliau turut menyeru pihak polis menyiasat pihak bertanggungjawab dan perancang yang mencetuskan kekecohan berkenaan.

 

Lihat Komen