Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor enggan mengulas lanjut mengenai kelulusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini.
"Saya tak tahulah.
“PPBM (BERSATU), biarlah dia dengan dunia dia," katanya ringkas ketika ditemui pemberita di ibu negara hari ini.
Selain itu, ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali yang menganggap Umno gentar ekoran pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Adnan berkata parti Melayu itu langsung tidak gentar.
Malah, katanya, sebagai wakil rakyat apa yang lebih penting baginya ialah bertemu dengan masyarakat.
"Tak gentar langsung. Saya sebagai wakil rakyat, kita bertemu rakyat.
“Kita buat apa yang kita cakapkan," katanya lagi.
ROS hari ini meluluskan permohonan BERSATU untuk menjadi parti politik sah di negara ini dengan akronim PPBM dan bukan BERSATU.
Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi, kelulusan rasmi diberikan selepas parti berkenaan membuat penjelasan kepada ROS mengenai peranan dan fungsi presiden serta pengerusinya.
Parti berkenaan ditubuhkan selepas beberapa tokoh pemimpin Umno dan ahli parti itu tidak sependapat dengan Datuk Seri Najib Razak menangani pelbagai isu semasa dalam negara, termasuk 1MDB.