malaysiakini logo
ADS
story-image
ADS

Ketika tender terbuka dikatakan mampu menangani masalah rasuah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Masor berkata amalan itu kadang-kadang menyebabkan kerugian kepada kerajaan.

Katanya keadaan begitu boleh berlaku apabila pembida yang datang dengan harga paling rendah dan diberi kontrak, gagal menyiapkan sesebuah projek mengikut waktu ditetapkan.

"Kadang-kadang tender terbuka boleh memberi masalah, khususnya apabila orang yang dapat, dia masuk dengan harga rendah tetapi akhirnya projek yang kita harapkan siap pada jangka masa yang ditetapkan tidak disiapkan.

"Akhirnya apabila kerajaan membuka semula tender berkenaan, ia menyebabkan kerajaan menanggung kos lebih besar daripada sepatutnya," kata beliau kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini Presiden Transparency International - Malaysia Datuk Akhbar Satar yang menyarankan kerajaan melaksanakan proses tender terbuka dalam proses perolehannya berbanding rundingan terus untuk mengekang rasuah.

ADS

“Setiap tender perlu dibuat secara terbuka kerana rundingan terus mendorong seseorang lebih cenderung memberikan tender kepada kroni masing-masing.

"Apa yang penting ialah apabila tender diberi, pastikan ia diberi kepada orang paling layak," katanya.

Tengku Adnan berkata apa saja yang dilakukan kerajaan memastikan ia berjalan secara telus dan tiada unsur rasuah.

ADS

"Yang ketiga, kita akan pastikan projek itu dapat dilaksanakan mengikut jangka waktu supaya rakyat dapat menikmati apa yang kita telah laksanakan," katanya lagi.

Tengku Adnan berkata beliau bersetuju dengan Akhbar dan kementeriannya sedang berusaha menambah baik kelemahan yang diambil kesempatan pihak tertentu sebelum ini.

Beliau juga menambah kini kerajaan tidak lagi mengamalkan dasar rundingan terus untuk menawarkan sebarang kontrak pembangunan.

Katanya Kementerian Wilayah Persekutuan kini memberikan kontrak melalui tender terbuka kecuali jika ia melibatkan kepakaran tertentu atau dirasakan rundingan terus boleh menjimatkan wang kerajaan.

Pada 15 Ogos lalu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana disyaki terlibat dalam aktiviti rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen