malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ancam akidah, Pokemon Go difatwa haram di Kedah
ADS

Jawatankuasa Fatwa Kedah hari ini memutuskan permainan Pokemon Go adalah haram untuk umat Islam kerana dilihat banyak mendatangkan kemudaratan.

Mufti Kedah Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang bermula 10 pagi sehingga 12.30 tengah hari tadi di Pejabat Mufti Kedah, Anak Bukit, di Alor Setar.

Beliau berkata hasil perbincangan itu, mesyuarat merumuskan bahawa permainan Pokemon Go wajar dihalang, disekat serta dilarang kerana ia jelas mendatangkan kemudaratan kepada pemainnya.

"Perkataan halang, larang dan sekat ini sudah memberi erti haram malah lebih daripada itu ...kalau haram sahaja tetapi tidak sekat orang akan main juga, jadi kita mahu lebih daripada itu.

"Jadi, kita mahu ia dihalang dan disekat oleh orang yang mempunyai kuasa terhadap perkara ini," katanya kepada pemberita di sini.

ADS

Beliau berkata Jawatankuasa Fatwa negeri juga akan mencadangkan kepada Jabatan Agama Islam Kedah untuk memasukkan isu permainan Pokemon Go di dalam khutbah Jumaat serta meletakkan papan tanda di kawasan masjid sebagai kawasan larangan untuk bermain Pokemon Go.

Syeikh Muhamad Baderudin berkata pemainan tersebut dilihat mampu mengancam akidah selain dibimbangi rumah-rumah ibadah juga dicerobohi oleh pemain yang ingin menangkap watak Pokemon tersebut.

"Kita bimbang permainan ini akan memberi impak negatif kepada kanak-kanak kerana mungkin mereka percaya bahawa watak Pokemon ini boleh membuat perkara ajaib sedangkan perkara-perkara yang diluar keupayaan kita hanya Allah sahaja yang berkuasa," katanya.

Katanya, ibu bapa juga perlu perlu sentiasa berwaspada dan memantau
pergerakan anak-anak supaya tidak terjebak dengan permainan Pokemon Go.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen