Lebih ramai anggota polis mengawasi himpunan #ShutdownSungaiBesi di Plaza Tol Sungai Besi malam tadi, menjadikan jumlah anggota keselamatan itu dua kali ganda daripada peserta protes itu.
Sekurang-kurangnya 200 anggota dilihat berkawal sepanjang pondok tol Sungai Besi dan sekitar stesen minyak berhampiran termasuk beberapa anggota Light Strike Force .
Sebagai perbandingan, hanya terdapat kira-kira 100 peserta, yang mula berkumpul di luar sebuah stesen minyak berdekatan lebuhraya utara selatan itu pada jam 11 malam.
Bagaimanapun, salah seorang pemimpin protes, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata bahawa protes malam ini hanya satu permulaan.
"Siri bantahan, siri protes, demonstrasi sama ada besar-besaran ataupun kecil-kecilan, akan berlangsung selagi pimpinan negara tidak meletakkan negara pada landasan yang betul, untuk dibetulkan," katanya.
'Shutdown Sungai Besi'
Ditanya mengapa bantahan itu dinamakan 'Shutdown Sungai Besi' walaupun tol beroperasi seperti biasa, Shazni berkata mereka 'tidak cukup gila' untuk menimbulkan kemarahan pemandu yang hanya mahu menuju destinasi mereka.
Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan satu bantahan seperti demonstrasi Lebuh Raya Kesas yang menyebabkan lebuh raya itu ditutup pada sekitar tahun 2000, akan dilakukan pada masa akan datang.
Antara yang berucap adalah Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub, Ketua Pemuda AMANAH Sany Hamzan, Ketua Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Edy Noor Reduan, dan aktivis DAP Young Syefura Othman.
Mereka bukan sahaja menekankan tentang kenaikan tambang tol di lapan lebuh raya, tetapi juga pelbagai isu termasuk kenaikan kos sara hidup terutamanya pengangkutan, skandal 1MDB , dan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).
Turut hadir dalam himpunan itu ialah Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin.
Para peserta protes itu mula bersurai secara aman pada kira-kira jam 11,45 malam, selepas ucapan berakhir.
Terdahulu polis mengingatkan bahawa bantahan itu menyalahi undang-undang kerana ia tidak mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa itu.