malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Poster AI: Shaq Koyok anggap karut, Ujang saran raikan teknologi
ADS

Pertandingan mencipta poster menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) mendapat kritikan seorang penggiat seni tanah air.

Pelukis Orang Asli dari suku Temuan-Semai, Shaq Koyok, berpendapat ketika ini sesiapa saja boleh mencipta poster atau lukisan dengan mudah menggunakan teknologi AI.

Justeru, dia mempertikaikan kewajaran Kraftangan Malaysia menganjurkan pertandingan tersebut dan menganggapnya sebagai "mengarut."

"Apa masalah dengan bakat dan kreativiti manusia? (Dengan teknologi AI) Sesiapa saja yang mempunyai komputer boleh buat (poster).

"Apa yang mereka (Kraftangan Malaysia) fikirkan sebenarnya? Ia mengarut," katanya kepada Malaysiakini.

Shaq Koyok

Semalam, hebahan mengenai pertandingan poster AI sempena Hari Kraf Kebangsaan mendapat kecaman sesetengah pihak dengan ada antara mereka mendakwa ia memalukan.

Pada pandangan pengkritik pertandingan seumpama itu seolah-olah menghina bakat artis seni lukis negara.

Tambahan pula ia dianjurkan badan yang sepatutnya menaikkan martabat karya yang dihasilkan penggiat seni tempatan.

Mereka berpendapat langkah diambil Kraftangan Malaysia itu adalah suatu penghinaan kepada semua pereka grafik dan penggiat kraftangan, terutama apabila melihat kepada nilai hadiah yang ditawarkan.

"Pertandingan (janaan) poster AI untuk Hari Kraftangan bagi meraikan kreativiti manusia?

"(Ia) Penghinaan mutlak kepada penggiat seni di Malaysia. Hadiahnya juga hanya RM50 (kepada 30 pemenang). Ia sangat menghinakan jika begini caranya seni dilihat dan dinilai," ciap seorang pengguna X.

Malaysiakini sudah menghubungi Kraftangan Malaysia untuk mendapatkan pandangan berkenaan kritikan tersebut dan sedang menunggu respon daripada mereka.

Terdahulu, Kraftangan Malaysia membuat hebahan mengenai pelbagai acara menarik yang dianjurkan sempena Hari Kraf Kebangsaan 2024 yang bermula pada 25 hingga 29 Feb ini.

Pertembungan tradisi, kemodenan

Salah satu cara yang diadakan termasuklah pertandingan poster AI yang menawarkan hadiah wang tunai RM50 untuk 30 orang pemenang.

Antara syarat yang dikenakan ialah peserta dikehendaki memuat naik poster AI masing-masing di laman media sosial. Pemenang dinilai berdasarkan kreativiti, bilangan suka dan kongsi pada poster terbabit.

Sementara itu, seorang pelukis dan kartunis terkenal lewat 1990-an mempunyai pandangan berbeza.

Ujang atau nama sebenarnya Ibrahim Anon berkata semua pihak tidak perlu takut kepada teknologi moden seperti AI kerana ia sebenarnya menjadi pemudah cara dalam proses menyelesaikan sesuatu tugas atau kerja.

Ujang

Tambahnya, Kraftangan Malaysia berhak untuk menganjurkan apa saja pertandingan yang dirasakan sesuai.

Ujang turut bersetuju dengan penggunaan AI dalam penghasilan karya seni termasuk animasi dan lukisan.

"Mengapa perlu takut? Kita tak boleh halang teknologi sebaliknya kena bersedia (terima perubahan) dan meraikan arus teknologi yang semakin pesat, jika tidak kita akan ketinggalan." katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, memang terdapat kegusaran dan salah faham dalam kalangan sesetengah pihak mengenai penggunaan teknologi AI dalam bidang seni.

Menurut Ujang, dia sendiri pernah menghadapi konflik pertembungan di antara kaedah tradisional dan teknologi moden ketika menjadi kartunis suatu ketika dulu.

"Sekarang, saya sendiri belajar teknologi baru seperti lukisan digital dan AI untuk sesuaikan diri dengan persekitaran teknologi baru," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen