malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
‘Konon tahu agama tapi tak beradab bila menegur’
ADS

Penyanyi terkenal Akim Ahmad tidak senang dengan teguran warga maya terhadap pemakaian isterinya Stacy pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-32 minggu lalu.

Akim menyifatkan teguran itu disampaikan secara tidak beradab dan hendak mempermalukan mereka.

Akim berkata, Islam mempunyai tatasusila dalam menegur umat yang lain iaitu caranya bukan dilakukan depan khalayak.

"Oh konon tahu agama tapi tak tahu adab dan cara menegur. Cara mereka itu bukan cara nabi kita," katanya ketika ditemui pada sidang media pengumuman Mentor Milenia di Hotel Hilton Petaling Jaya semalam.

Kata Akim, cara terbaik untuk menegur misalnya dengan berhubung secara langsung (direct message).

Akim Ahmad 

Namun, dakwanya dia tidak menerima satu mesej peribadi daripada netizen pun.

“Mereka lebih nak memalukan saya saja,” katanya.

Penampilan Stacy atau nama Islamnya Ummu Syaikhah Stacy Anam Abdullah dikecam apabila muncul membuat persembahan di Putrajaya minggu lalu.

Stacy sebelum ini turut menyelar pihak yang digelarnya “mak cik bawang” itu.

Stacy atau nama asalnya, Stracie Angie Anam, 29, memeluk Islam pada 24 Ogos 2015 di Jabatan Agama Islam di Johor Bahru.

Akim dan Stacy mendirikan rumah tangga pada 5 Februari 2016.

‘Suami mana tak sakit hati’

Menurut penyanyi lagu Bengang itu, sebagai suami dia terkilan kerana dituduh tidak pandai mendidik isteri dari segi berpakaian.

"Mana ada suami tak sakit hati dengan kecaman netizen terhadap isteri.

"Macam kita tak buat kerja pula. Saya sebagai suami tahu macam mana nak didik dia," katanya.

Kata pemilik nama penuh Afiq Hakim Ahmad itu, sebenarnya dia bersyukur kerana Stacy banyak menunjukkan perkembangan imej yang jauh berbeza sejak dia mula mengenali isterinya itu.

"Saya bersyukur dengan Stacy yang saya kenal. Dulu dia jauh berbeza. Sebagai suami saya bangga dengan perubahan Stacy," katanya.

Tambah Akim lagi, dia tidak menyangka isu ini boleh sampai ke tahap sebegini dan berasakan perkara itu tidak perlu dihangatkan lagi.

Akim, 28, berkata, Stacy seboleh-bolehnya cuba menjaga aib dirinya melalui cara dia berpakaian.

“Stacy selalu berbincang dengan pereka baju dia," katanya.

 

Lihat Komen