malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Stacy doakan pembawang 'makin jongang'
Diterbitkan:  Sep 23, 2019 4:42 PM
Dikemaskini: 8:42 AM
ADS

Berdepan kerenah sesetengah orang yang mudah sangat menjatuhkan hukuman membuatkan Stacy Anam sempat terfikir untuk berhenti daripada meneruskan kerjaya sebagai penghibur.

Jika diikutkan rasa hati, kata penyanyi itu, ingin saja dia bersara.

Cuma menurut penyanyi Bosan itu, sekarang bukan masa yang sesuai, selain keadaan semasa yang tidak mengizinkan.

Terbaru, dia mengakui semangatnya runtuh apabila terdapat segelintir pihak menyelar cara pakaiannya yang dianggap tidak bersesuaian selain dilabel sebagai "wanita akhir zaman."

“Yakin je menghibur orang dengan sehabis tenaga, tapi lain pula jadinya.

"Tak boleh buat salah atau tak sengaja. Silap saja, habis dilabel wanita akhir zaman. Astaghfirullahalazim…” katanya di media sosial.

Penampilan Stacy atau nama Islamnya Ummu Syaikhah Stacy Anam Abdullah dikecam apabila muncul membuat persembahan pada malam Anugerah Bintang Popular BH ke-31, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya malam tadi.

Itulah nasib jadi penyanyi

Stacy atau nama asalnya, Straci Angie Anam, 29, memeluk Islam pada 24 Ogos 2015 di Jabatan Agama Islam di Johor Bahru.

Mengulas lanjut, isteri Akim Ahmad itu berkata, setiap manusia tidak terlepas daripada mengalami suka duka kehidupan, begitu juga dengan dirinya.

“Pasti ada hari-hari yang tidak dijangka dan tidak diinginkan berlaku, kan? Benda tu jadi pada saya.

“Kain seluarnya tebal dan longgar dan warnanya pula kuning tapi tak sangka pula apabila buat persembahan atas pentas dengan pencahayaan, pergerakan dan macam-macam, benda jadi lain,” katanya.

Meskipun menyedari hakikatnya seseorang selebriti terpaksa berdepan risiko dikecam, dia yang turut dikenali kerana lagu Pelangi Senja itu mahu nama suaminya tidak dibabitkan sama dalam situasi berkenaan.

“Nak komen tu janganlah ada yang melampau sangat. Saya ada suami dan keluarga juga, tapi itulah nasib sebagai manusia yang bekerja dalam bidang begini, memang risiko, kan.

“Manusia penghukum ni saya rasa sakit sangat pada suami dan keluarga.

"Jangan babit saya punya OK guys. Semua kesilapan dan hal yang tak kena semua dari saya saja tauu,” katanya.

Stacy yang turut popular dengan lagu Cakap Ke Tangan itu pada masa sama secara sinis meminta agar warganet tidak memandang perkara yang menyakitkan mata.

“Memang tak elok guys. Biarlah niat awal masing-masing tu kami tau ke mana dan hanya 'di atas' yang tau dan menentukannya.

“Saya minta maaf kalau buat anda semua tergerak untuk memfitnah dan fikir macam.

“Yang terus nak membawang ngumpat saya, harap gigi anda makin jongang okay,” katanya selamba.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen