malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Young Tigers kalah kerana kelebihan fizikal Great Britain - pengendali
Diterbitkan:  Oct 24, 2024 4:22 PM
Dikemaskini: 8:22 AM
ADS

Kelebihan fizikal pasukan Great Britain merupakan antara faktor skuad Young Tigers tewas 1-2 pada aksi Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 di Stadium Hoki Johor, di Johor Bahru malam tadi.

Pengendali skuad negara I Vikneswaran berkata anak buahnya sentiasa cuba melakukan serangan ke arah kubu pasukan kendalian Jon Bleby itu.

“Kita bermain secara fizikal dan terpaksa guna apa sahaja sudut untuk dapatkan gol, namun ini yang berlaku (tewas). Cara permainan Eropah juga berbeza, dan ia mungkin sesuatu yang baharu untuk mereka dan kita jadikan ini sebagai satu pengalaman.

“Dari segi tahap kecergasan, pemain tiada kecederaan tetapi kita cuba serang dan dapatkan gol serta tidak hanya bertahan sahaja," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Vikneswaran dalam pada itu berkata Young Tigers tidak akan mensia-siakan perlawanan berdepan Australia esok, dalam penentuan tempat kelima dan keenam.

“Ini antara peluang untuk skuad kita bermain dengan mereka (Australia) sebagai persediaan Piala Dunia Remaja.

“Sepanjang perlawanan ini kita bermain cara tertentu dan cuba tingkatkan kemahiran dan di bawah tekanan. Jadi, sebagaimana kita hendak berjaya dan capai sesuatu, kita kena bersabar (meski tewas),” katanya.

India terus menerajui kedudukan enam pasukan bertanding manakala Malaysia di kedudukan terbawah tanpa sebarang pungutan mata.

Skuad remaja kebangsaan bersaing dengan lima negara berkenaan dalam edisi ke-12 SOJC yang akan berakhir Sabtu ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen