malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
'Islam mengajar kita untuk berdamai dengan takdir'
Diterbitkan:  Aug 14, 2024 12:49 PM
Dikemaskini: 4:51 AM
ADS

Jelas masih terkilan dengan apa yang berlaku dalam velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines di Paris beberapa hari lalu, atlet lumba basikal negara, Azizulhasni Awang, berkata dia bersyukur kerana tekal berpegang teguh pada ajaran agama.

Kata jaguh negara itu sepanjang masa sebelum memulakan kayuhan di Olimpik kali ini, dia sentiasa berfikiran positif dan berharap mampu memberikan cerita manis buat Malaysia selain sebagai catatan peribadinya.

Namun, katanya, dia terkelu seribu bahasa apabila ditakdirkan melalui pengakhiran yang sangat mengecewakan.

Ketika itu, katanya, dia teringat kepada bermacam-macam perkara termasuk janji yang diberikan kepada keluarga bahawa Olimpik 2024 adalah kemunculan terakhirnya di pentas berprestij itu.

Pada masa sama, kata Azizulhasni, dia sempat terfikir betapa apa yang berlaku di velodrom berkapasiti 6,000 orang itu adalah kesan mengingkari permintaan ibu, isteri dan anak-anaknya agar bersara selepas menjalani pembedahan jantung pada April 2022 lalu.

Akhirnya, menurut Azizulhasni, dia reda dengan apa yang berlaku kerana sudah ditentukan Allah.

"Islam mengajar kita untuk berdamai dengan takdir. Semua yang berlaku didunia ini sudah ditentukan oleh Allah Azzawajal sebelum kita diciptakan lagi dan Allah adalah sebaik-baik perancang.

"Syukur kerana saya berpegang teguh dengan tali Allah. Jika tidak saya tak tahu bagaimana untuk menghadam dan memproses segala yang berlaku," katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Semua dalam ‘dos’ yang betul

Azizulhasni, 36, menjadi pertaruhan terbai Malaysia untuk menggapai pingat emas pertama dari temasya Olimpik apabila menyertai acara keirin pada 10 Ogos lalu.

Atlet digelar The Pocket Rocketman itu bagaimanapun tersingkir apabila dikatakan berada di depan pacer sebelum waktu yang sepatutnya sekali gus tersingkir daripada saingan.

Menurut Azizulhasni, selepas gagal mencapai matlamat yang diidamkan, dia duduk termenung di dalam bilik kerana memikirkan betapa musnahnya harapan sekian banyak orang ekoran insiden tersebut.

"Paling sedih apabila saya teringat reaksi jurulatih, John Beasley, yang begitu sebak dan tidak dapat menahan emosi beliau.

"Perasaan bersalah yang menggunung (juga dirasa) kepada seluruh pasukan yang turut sama berkorban untuk memastikan saya sebagai atlet berada di tahap yang terbaik," katanya.

Azizulhasni juga menafikan jika ada mana-mana pihak menganggap dia terlalu mengharap sehingga tersalah langkah.

"Saya hadir di Paris dengan penuh harapan dan membawa misi penting negara tercinta.

"Mungkin ada yang kata harapan terlalu tinggi, terlalu besar membuat saya hilang kawalan.

"Tidak sama sekali, semuanya berada pada 'dos' yang sepatutnya," tambah anak kelahiran Kuala Dungun di Terengganu itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen