malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Inisiatif Road To Gold perlukan masa untuk tuai hasil, kata Beasley
Diterbitkan:  Aug 14, 2024 11:41 AM
Dikemaskini: 3:42 AM
ADS

Program Road To Gold (RTG) perlu diberi masa yang mencukupi bagi membolehkan menyumbang pingat emas pertama Sukan Olimpik kepada Malaysia, kata jutulatih berbasikal trek negara John Beasley.

Menurut Beasley, RTG juga perlu diberi ruang untuk dilaksanakan tanpa gangguan dan mungkin memerlukan sekurang-kurangnya satu lagi kitaran Olimpik untuk menilai keberkesanannya.

“Ini adalah program elit, anda harus faham bahawa masa diperlukan untuk membina prestasi pingat emas itu.

“Berikan Malaysia peluang untuk memupuk pembangunan atlet terbaik dan saya jamin ia akan dapat memberikan pulangan 10 kali ganda.

"Tetapi jika dihentikan, proses itu terpaksa dimulakan dari bawah sekali lagi,” katanya sambil berkata tindakan menghentikan dan memulakan semula inisiatif pada masa lalu telah membantutkan kemajuan.

Beasly berkata demikian ketika ditemui di di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, semalam. Dia baru tiba di negara ini dari Paris sempena Olimpik 2024.

Jurulatih dari Australia itu berkata program RTG setakat ini berjaya memenuhi keperluan atlet dari segi peralatan atau sokongan emosi, dan percaya jika diteruskan masanya akan tiba untuk Malaysia memperoleh pingat emas Olimpik.

“Saya rasa anda boleh lihat apa yang telah dimulakan. Walaupun tidak membawa sebarang pingat emas, perak atau gangsa kali ini, tetapi anda dapat lihat persembahan atlet.

"Ada beberapa persembahan yang sangat baik pada Olimpik kali ini, jadi tolong jangan ganggu atlet atau jangan hentikan program itu,” katanya.

Bagaimanapun Beasley berkata pada masa hadapan, program itu hanya perlu disediakan untuk atlet terbaik dan elakkan sebarang gangguan unsur-unsur ‘politik’ untuk memastikan ia berjalan sebagaimana yang diharapkan.

Program RTG diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tahun lalu sebagai projek nasional dengan objektif untuk menyelaraskan usaha negara dalam memburu pingat emas sulung Sukan Olimpik.

Ia bagaimanapun gagal membuahkan hasil di Paris kerana kontinjen negara sekadar meraih dua pingat gangsa menerusi acara badminton lelaki melalui Lee Zii Jia dan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen