malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Jangan serang pelumba Jepun, pesan abang Shah Firdaus
Diterbitkan:  Aug 12, 2024 12:13 PM
Dikemaskini: 4:13 AM
ADS

Abang pelumba basikal negara Muhamad Shah Firdaus Sahrom meminta orang ramai tidak 'menyerang' pelumba Jepun yang terbabit dalam kemalangan pada final acara keirin lelaki Olimpik semalam.

Ini selepas pelumba Jepun itu dikaitkan sebagai punca adiknya cedera dan terlepas peluang memenangi pingat.

Jelas Muhamad Ridwan Sahrom, dalam acara seperti keirin insiden seumpama itu boleh berlaku dan tiada sesiapa boleh dipersalahkan.

Justeru, dia yang juga seorang pelumba trek menyeru peminat Malaysia agar tidak menyerang akaun media sosial atlet mana-mana negara susulan kemalangan antara Shah Firdaus dan pelumba Jepun, Shinji Nakano.

"Kepada peminat sukan Malaysia, mohon elakkan daripada menyerang akaun media sosial mana-mana negara yang terlibat dalam kemalangan antara Shah dan pelumba basikal Jepun itu.

"Dalam acara seperti keirin, insiden seperti itu boleh berlaku, dan tiada siapa yang harus dipersalahkan.

"Kami berharap tiada kata-kata atau komen yang kasar ditujukan kepada pelumba basikal Jepun itu. Terima kasih," katanya dalam siaran di Instagram.

Terdahulu gara-gara merempuh Muhammad Shah, netizen tampil menyerang pelumba dari Jepun yang didakwa menjadi punca kemalangan.

Insiden itu didakwa menjadi punca wakil Malaysia terlepas peluang untuk memenangi pingat untuk acara keirin.

Ketika kejadian Shah Firdaus sedang memecut untuk menuju garisan penamat, sebelum dirempuh Nakano yang menyebabkan pelumba Great Britain Jack Carlin hilang kawalan sekali gus terjatuh, semasa pusingan terakhir di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome.

Meskipun keputusan pada mulanya menunjukkan Muhammad Shah menamatkan saingan pada kedudukan keempat, keputusan itu tiba-tiba berubah kepada disingkirkan (relegated) oleh laman sesawang rasmi temasya sukan tersebut, menjadikan dia tercampak ke kedudukan keenam.

Semakan Malaysiakini mendapati Nakato yang berkongsi gambar kemenangannya di akaun Instagram @shinji_nakano1999 menerima lebih 36,000 komen termasuk pelbagai kata-kata serangan oleh rakyat Malaysia.

Ada di antara mereka secara sinis berkata, Nakato sepatutnya tidak menyertai acara itu (keirin) sebaliknya lebih sesuai bermain basikal lajak.

"Booo baik kau join geng basikal lajak, tak payah main keirin buat semak," kata pengguna Instagram @4mshaa.

"Lepas ini kau tak payah kayuh basikal, jalan kaki saja kau," kata akaun Instagram @ainnurul_.

Selain itu tidak kurang juga pelbagai kata-kata kesat dilontarkan terhadap wakil Jepun berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen