malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Pemuda MCA gesa Yeoh dedah delegasi, tetamu ke Paris
Diterbitkan:  Aug 7, 2024 6:43 PM
Dikemaskini: 10:43 AM
ADS

Pemuda MCA menggesa Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mendedahkan senarai nama delegasi termasuk tetamu yang terbang dari Malaysia ke Paris sempena temasya Olimpik 2024.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata Yeoh sepatutnya memberi penjelasan berhubung isu kekurangan kuota kad akreditasi membabitkan sokongan kepada atlet Olimpik negara bagi memastikan keperluan fizikal dan emosi mereka khususnya ketika kejohanan antarabangsa.

Tegasnya, akauntabiliti dan ketelusan adalah penting dalam proses ini walaupun Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Norza Zakaria berkata kad akreditasi tidak melibatkan dana kerajaan, kuota dan sokongan atlet mesti diutamakan berbanding menteri dan tetamu.

"Peruntukan yang adil dan telus adalah penting, dan siasatan terhadap 'kuota peribadi' presiden MOM diperlukan. Yeoh perlu menangani isu ini, memastikan pas disediakan untuk jurulatih dan kakitangan pasukan, dan melaksanakan cadangan untuk sokongan adil pada acara akan datang.

"Berpandukan moto PH iaitu 'kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan', Yeoh harus mendedahkan nama dan bilangan pegawai dari MOM, wakil persatuan sukan dan atlet ke Paris, dan daripada kementeriannya yang diperuntukkan kad akreditasi.

"Selain itu, senarai tetamu mereka yang terbang ke Paris juga harus didedahkan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dia berkata demikian susulan isu yang timbul selepas Norza yang juga presiden Kesatuan Badminton Malaysia (BAM) dipersoal kerana membawa anak dan isteri ke Paris mengguna kuota khas atas kapasiti jawatan disandangnya.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Norza berkata, kuota yang diberikan kepadanya itu tiada kaitan dengan kad akreditasi melibatkan atlet dan pasukan negara yang menyertai kejohanan berkenaan.

Sementara itu Choo Seong berkata, pendedahan oleh menteri itu akan meredakan kekecewaan orang ramai terhadap Norza sekali gus memenuhi aspirasi ke arah penggubalan Akta Kebebasan Maklumat seperti yang telah dicadangkan oleh PH.

Selain itu katanya, kenyataan Yeoh mengenai butiran ganjaran kepada atlet negara yang menang pingat akan dimaklumkan kemudian adalah pendekatan yang salah.

"Bagi benar-benar menyokong atlet kita, tindakan awal adalah penting. Menangani keperluan mereka lebih awal adalah penting untuk membina keyakinan dan memastikan sokongan yang sewajarnya.

"Bergantung kepada ganjaran wang tunai sebagai motivasi sebelum ini tidak berkesan jika atlet tidak berasa disokong secukupnya.

"Pemikiran 'raikan dahulu' ini boleh memberi kesan negatif terhadap semangat jika kekurangan sokongan dari awal. Dana, peruntukan berkaitan dan perancangan yang lemah telah menjadi isu utama musim Olimpik ini," katanya sambil merujuk kes tersingkirnya Goh Jin Wei yang bertanding tanpa jurulatihnya di Paris.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen