malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Pearly-Thinaah berdepan cabaran So Yeong-Hee Yong
Diterbitkan:  Jul 31, 2024 8:56 AM
Dikemaskini: 1:28 AM
ADS

Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah akan berdepan pemenang pingat gangsa Olimpik edisi lalu, Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan pada perlawanan suku akhir badminton Khamis ini.

Undian pusingan kalah mati dijalankan selepas tamat semua perlawanan peringkat kumpulan beregu wanita di Porte de La Chapelle Arena malam tadi.

Pada temasya Olimpik Tokyo 2020, So Yeong-Hee Yong meraih gangsa selepas mengetepikan cabaran rakan senegara Lee So Hee-Shing Seung Chan pada perlawanan penentuan pingat.

Pada satu-satunya pertemuan sebelum ini, Pearly-Thinaah tewas kepada pasangan Korea Selatan itu 14-21, 14-21 dalam perlawanan peringkat kumpulan saingan Jelajah Dunia Akhir 2021.

Jika Pearly-Thinaah berjaya mengatasi gandingan ke-10 dunia itu, pemenang emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu bakal diuji lebih hebat apabila berdepan juara dunia empat kali Chen Qing Chen-Jia Yi Fan sekali lagi di separuh akhir.

Berdasarkan percaturan di atas kertas, pasangan China itu dijangka tidak mempunyai masalah menyingkirkan wakil Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva di suku akhir nanti.

Pearly-Thinaah yang menghuni tangga ke-13 dunia memulakan kempen peringkat kumpulan dengan langkah kiri apabila tewas kepada Qing Chen-Yi Fan, sebelum mencipta dua kemenangan luar biasa mengatasi pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti untuk mara ke suku akhir.

Sementara itu, undian berkenaan menyaksikan gandingan kedua terbaik dunia Baek Ha Na-Lee So Hae dari Korea Selatan akan bertemu Liu Cheng Shu-Tan Ning manakala wakil Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dijadual membuat perhitungan dengan pasangan Denmark, Maiken Fruergaard-Sara Thygesen.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen