malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Atlet lawan pedang Mesir beraksi ketika hamil 7 bulan
Diterbitkan:  Jul 30, 2024 6:55 PM
Dikemaskini: 10:55 AM
ADS

Peserta lawan pedang wanita Mesir membuat penampilan berani apabila beraksi dalam keadaan hamil di Sukan Olimpik 2024 yang sedang berlangsung di Paris.

Nada Hafez malah berjaya mendapat tempat di pusingan ke-16 apabila menewaskan pemain Amerika Syarikat, Elizabeth Tartakovsky 15-13 sebelum tewas 7-14 kepada Jeon Hayoung dari Korea Selatan.

Pemain berusia 26 tahun itu berkongsi pengalaman manisnya melalui catatan Instagram miliknya.

“Apa yang dilihat anda adalah dua pemain di podium, tetapi sebenarnya tiga! Ia adalah saya, pesaing saya dan anak saya yang bakal lahir.

"Saya dan bayi saya mempunyai cabaran yang sama, sama ada fizikal dan emosi," katanya.

Ini ialah penampilan ketiga Nada dalam Olimpik selepas penyertaannya di Rio de Janeiro pada 2016 dan Tokyo (2020).

Nada menyatakan ia sebagai satu perjalanan yang sukar kerana menyertai temasya sukan itu pada tahun ini dalam keadaan hamil.

Namun pemain yang berasal dari Kaherah itu tetap berasa berbaloi dalam perjuangannya untuk menjaga keseimbangan hidup dan sukan.

“Saya menulis pos ini untuk menyatakan bahawa saya berasa bangga kerana berjaya mendapatkan tempat saya dalam pusingan 16!”

Pada masa sama, Nada menyatakan penghargaan kepada suaminya yang sentiasa memberikan sokongan dan letak kepercayaan pada dirinya.

“Saya beruntung dapat berkongsi kepercayaan suami saya @ibrahimihab11 dan keluarga saya untuk dapat mencapai sejauh ini.

“Olimpik kali ini berbeza. Tiga kali menyertai Olimpik, tetapi kali ini membawa seorang peserta Olimpik kecil!” katanya melalui catatan Instagram.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen