malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Serangan asid bukan penamat karier Mickey
Diterbitkan:  May 8, 2024 2:37 PM
Dikemaskini: 6:37 AM
ADS

Kecederaan akibat disimbah asid dilihat tidak akan menjadi penamat kepada karier pemain sayap sensasi Harimau Malaya dan Selangor FC Faisal Halim.

Keyakinan itu dilontarkan Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Shahril Mokhtar yang memaklumkan Faisal mempunyai peluang untuk pulih berdasarkan penilaian doktor pakar.

Namun, Shahril yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menjangkakan tonggak jentera serangan Gergasi Merah berusia 26 tahun itu mungkin memerlukan tempoh yagn panjang sebelum mampu mencapai kembali tahap prestasi optimum.

“Apa yang saya nampak hari ini dan apa yang telah dimaklumkan doktor, saya yakin Mickey (nama panggilan Faisal) akan pulih, tetapi harus diingat trauma yang dilaluinya bukan mudah.

“Satu, dari aspek fizikal iaitu rawatannya ketika ini, kedua dari segi psikologinya, saya rasa sekurang-kurangnya enam bulan untuk beliau pulih bukan pada tahap kecergasan optimum tetapi sekurang-kurangnya pada tahap beliau boleh bermula untuk bermain,” katanya ketika ditemui di sebuah hospital swasta di Shah Alam hari ini.

Ketika ditanya adakah peminat akan dapat melihat semula kelibat Faisal beraksi seperti sebelum ini, Shahril berkata: “Saya tak boleh jamin, Allah saja yang boleh jamin... saya yakin insya-Allah sebab semua tahu beliau orang yang kecil tapi semangatnya (besar), itu kelebihannya."

Terdahulu, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Pengerusi Selangor FC meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahi Faisal yang difahamkan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.

Ahad lalu arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Dia disahkan mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan dan menjalani pembedahan pertama pada Ahad malam, selain pergerakan dan percakapannya turut terbatas.

Pemain yang memenangi anugerah gol terbaik pada persaingan Piala Asia 2023 di Qatar, Jan lalu dijangka tidak dapat beraksi sekurang-kurangnya lima atau enam bulan.

Ia sekali gus membuat Faisal terlepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan.

Insiden itu merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, pada Khamis.

Serangan terhadap pemain bola sepak negara memasuki episod baru apabila pemain JDT Safiq Rahim pula diserang dua lelaki menaiki motosikal yang memecahkan cermin belakang keretanya menggunakan tukul besi di Johor Bahru, semalam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen