Pemain muda Perak FC, Muhammad Aiman Khairul Yusni mahu memanfaatkan panggilan ke skuad Harimau Muda kali ini dan berazam merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan negara di pertandingan Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) April ini.
“Saya teruja berada dalam senarai skuad B-23, saya rasa untuk dipanggil menyertai pasukan negara agak susah sebab kelompok pemain muda besar, jadi saya perlu lakukan terbaik untuk dapatkan tempat,” katanya pada sesi latihan hari keempat skuad B-23 di Padang Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kuala Lumpur, semalam.
Muhammad Aiman berkata pemain sedia ada dilihat tidak mempunyai masalah dengan perancangan yang buat jurulatih baharu Juan Torres Garrido sepanjang empat hari kem latihan diadakan.
Sementara itu pemain pertahanan skuad B-23 Ahmad Zikri Khalili turut mengaku taktikal yang dibawa jurulatih daripada Sepanyol itu mudah diadaptasi pemain dan membawa perubahan kepada pasukan.
“Saya tiada masalah dengan cara latihan yang diterapkan jurulatih Juan dan pemain juga seronok dengan taktikal yang dibawa,” katanya.
Sementara itu Ahmad Zikri Khalili sedikit bimbang dengan tahap kecergasan pasukannya untuk beraksi pada pertandingan Piala Asia kelak susulan pemain kurang beraksi dalam perlawanan kompetitif sejak Januari, memandangkan Liga Malaysia hanya bermula Mei ini.
Sebagai persediaan Pasukan Harimau Muda akan menghadapi India dalam dua aksi persahabatan pada 22 dan 25 Mac ini di Kuala Lumpur selain China dan Qatar di Doha nanti.
Kejohanan Piala Asia B-23 yang berlangsung di Doha, Qatar bakal membuka tirai pada 15 April hingga 3 Mei depan.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D akan memulakan saingan menentang Uzbekistan pada 17 April diikuti dengan Vietnam pada 20 April dan Kuwait pada 23 April.
- Bernama

