malaysiakini logo
story-image
ADS

Kemudahan terbaik dimiliki Johor Darul Takzim (JDT) menjadi pilihan Tan Cheng Hoe selaku pengendali kelab Thailand, Police Tero FC, untuk membawa anak-anak buahnya menjalani latihan di Johor Bahru.

Menurut jurulatih berusia 55 tahun itu dia mengambil peluang waktu rehat Liga 1 Thailand berkunjung ke selatan tanah air untuk membuat persiapan bagi mengharungi baki perlawanan musim ini.

"JDT ada kemudahan yang terbaik. Kami tumpang tempat latihan.

"Saya ambil peluang ini sempena liga Thai berehat untuk persiapan pasukan," katanya melalui mesej aplikasi WhatsApp kepada Malaysiakini hari ini.

Terdahulu Police Tero dalam hantaran di media sosial memaklumkan keberadaan mereka selama sembilan hari di Johor bermula hari ini bagi menyertai kem latihan.

Ia berlaku hanya selepas kira-kira dua minggu pasukan itu dibimbing Cheng Hoe yang meninggalkan Selangor FC hujung bulan lalu.

"Pemain dan staf Police Tero berlepas untuk mengadakan kem latihan di Johor Bahru, Malaysia dari 13 hingga 21 Mac," kata kelab itu, hari ini.

Police Tero menjadi perhatian peminat bola sepak tanah air apabila mengumumkan Cheng Hoe sebagai pengendali baru mereka.

Perkara itu diumumkan beberapa hari selepas bekas pengendali skuad kebangsaan itu membuat keputusan mengejut berpisah dengan juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor.

Police Tero menghuni tangga ketiga dari belakang carta liga utama Thailand ketika ini selepas mengumpul 20 mata daripada 21 perlawanan yang diharungi.

Saingan liga berehat seketika bagi memberi laluan kepada persiapan pasukan kebangsaan Thailand menghadapi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bermula 18 hingga 26 Mac depan.

Untuk rekod, dalam dua perlawanan di bawah kendalian Cheng Hoe, kelab itu meraih satu mata ketika terikat 1-1 dengan Nakhon Pathom sebelum tewas 0-2 kepada Prachuap FC pada Jumaat lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen