malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
‘Underdog’ Sabah harap keputusan positif berdepan McArthur
Diterbitkan:  Feb 13, 2024 12:53 PM
Dikemaskini: 5:15 AM
ADS

Di atas kertas, semuanya menyebelahi lawan.

Bagaimanapun, bagi jurulatih Sabah FC Ong Kim Swee, perkara itu juga bermakna anak buahnya akan berdepan perlawanan tanpa tekanan yang tinggi.

Bercakap kepada kepada Utusan Malaysia, Kim Swee berharap pasukannya akan mendapatkan keputusan positif menentang Kelab Liga A Australia, McArthur hari ini.

Walaupun turun selaku underdog, dia berkata akan cuba mendapatkan keputusan positif untuk bermain di gelanggang mereka di Likas.

“Ini satu cabaran dan sebagai underdog tidak membawa tekanan yang tinggi tetapi apabila kita sudah layak di tahap separuh akhir, maka kita akan cuba mendapatkan keputusan positif untuk bermain di Likas kalau layak ke peringkat akhir,” kata Kim Swee.

Sementara itu, Kim Swee juga berkata mereka kekal fokus walaupun dengan ketiadaan pemain import lincah dari Indonesia Saddil Ramdani.

“Kita sudah bersiap sedia untuk perlawanan ini selama empat minggu. 

“Kita tiada perlawanan persahabatan, tetapi kita mempunyai latihan yang baik dan hebat,” katanya lapor The Star.

Ong Kim Swee

Saddil Ramdani dikhabarkan mempunyai kecederaan otot yang tidak mengizinkan dia untuk beraksi menentang McArthur pada separuh akhir peringkat zon Asean petang ini.

Kim Swee juga mengakui kelebihan memihak kepada lawan kerana liga negara itu tetap berlangsung sepanjang kempen Piala Asia di Qatar sebelum ini.

“Kalau kita lihat liga mereka masih berjalan walaupun Piala Asia berlangsung berbanding Sabah, yang Liga Malaysia sudah berakhir,

“Mereka (Macarthur) berada di tempat ketiga di A-League pada masa sama bermain di tempat mereka, tentu ia akan beri kelebihan kepada mereka,” katanya.

Pemain lincah Sabah Saddil Ramdani (kanan)

Sabah juga meletakkan harapan kepada Stuart Wilkin, Daniel Ting dan Dominic Tan untuk membantu pasukannya dengan pengalaman mereka bermain bersama Harimau Malaya.

Sabah akan menentang McArthur pada pukul tiga petang (waktu Malaysia) di Stadium Sukan Sports bagi kejohanan Piala AFC.

Pasukan dari Malaysia Timur itu kini satu-satunya pasukan dari Malaysia yang beraksi di pentas itu selepas Terengganu FC kandas di peringkat kumpulan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen