Ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon mendedahkan tekanan besar yang dihadapinya dalam membimbing skuad Harimau Malaya sejak mengambil alih tugas pada Jan 2022.
Walaupun menghadapi cabaran, bekas pengarah pasukan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) itu menzahirkan keyakinan terhadap keupayaannya untuk memimpin pasukan dan menyumbang kepada pertumbuhan bola sepak Malaysia.
Merungkai pencapaian semasa kepimpinannya, warga Korea Selatan berusia 54 tahun itu percaya bahawa usaha selama ini menunjukkan dedikasi dan optimisme membentuk masa depan yang cerah untuk Harimau Malaya.
“Sebagai jurulatih, segala tekanan di bahu saya dari kejohanan demi kejohanan, tetapi saya percaya saya telah memberikan yang terbaik kepada bola sepak Malaysia sejak dua tahun lalu.
"Jadi saya yakinkan diri bahawa kita boleh memberikan yang terbaik untuk masa depan juga.
“Kadang-kadang ada banyak tekanan tetapi saya perlu atasi, (dan) jika sesuatu berlaku (pecat), itu adalah takdir saya.
"Sebagai jurulatih saya perlu sentiasa bersedia,” katanya pada sidang media praperlawanan menjelang pertemuan terakhir kumpulan E Piala Asia 2023 menentang Korea Selatan di Doha esok.
Pan Gon mengulas soalan sama ada dia menjangkakan akan mendapat sokongan daripada FAM untuk terus menerajui pasukan kebangsaan walaupun prestasi Harimau Malaya hambar kali ini.
“Saya perlu membuang semua perkara negatif dan ketakutan. Saya perlu kuat dan positif untuk mengendalikan pasukan,” katanya.
Malaysia akan menentang juara dua kali, Korea Selatan, di Stadium Al Janoub di Doha dalam misi mengutip sekurang-kurangnya satu mata selepas tewas dua perlawanan sebelum ini.
Dua kekalahan itu menafikan peluang Malaysia mencipta sejarah dengan layak ke pusingan 16 buat kali pertama yang menjadi matlamat peribadi Pan Gon.
Sebelum Piala Asia, Harimau Malaya di bawah kendalian Pan Gon mencatatkan 18 kemenangan, empat seri dan lima kekalahan daripada keseluruhan 27 perlawanan.
Malaysia juga berada di landasan tepat untuk layak buat kali pertama ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia yang menyaksikan skuad kebangsaan mendahului saingan Kumpulan D dengan enam mata selepas menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dan Taiwan 1-0 pada Nov lalu.
Selepas ini, Harimau Malaya dijadualkan bertemu Oman di tempat lawan pada 21 Mac dan menjadi tuan rumah kepada pasukan itu pada 26 Mac, diikuti Kyrgyzstan di tempat lawan pada 6 Jun sebelum menjadi tuan rumah kepada Taiwan pada 11 Jun.
- Bernama

