Keputusan syarikat pakaian sukan jenama Puma untuk tidak menyambung penajaan pasukan bola sepak Israel diraikan oleh gerakan pro-Palestin atau lebih dikenali sebagai gerakan Boikot, Nyahlabur dan Sekatan (BDS) Malaysia.
"BDS berhasil!" kata BDS di laman X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter).
Bagaimanapun, Puma berkata keputusan itu dibuat sebelum berlaku keganasan terbaru di Palestin dan Israel, yang setakat ini telah mengorbankan lebih 18,000 rakyat Palestin dan lebih 1,400 warga Israel.
“Walaupun dua pasukan kebangsaan yang baru menandatangani kontrak– termasuk pasukan wakil yang baru – akan diumumkan pada penghujung tahun ini dan pada 2024, kontrak beberapa federasi seperti Serbia dan Israel akan tamat pada 2024,” kata jurucakap Puma dalam kenyataan, lapor Reuters.
Jurucakap itu menambah keputusan untuk tidak menyambung tajaan pasukan Israel dibuat pada 2022 sebagai sebahagian daripada strategi syarikat itu.
Kempen BDS untuk memboikot Puma bermula pada 2018, susulan sokongan syarikat itu terhadap Persatuan Bola Sepak Israel (IFA).
BDS berkata ini kerana IFA "mentadbir dan menyokong pasukan di penempatan haram Israel yang mencerobohi tanah Palestin".
Dalam satu kenyataan, Kempen Palestin untuk Boikot Akademik dan Budaya Israel (PACBI), yang merupakan pengasas gerakan BDS, berkata ia menyambut baik laporan bahawa Puma tidak akan menyambung kontrak dengan IFA.
"Tekanan BDS global tanpa henti terhadap Puma dalam beberapa tahun dan imejnya yang telah rosak harus menjadi pengajaran kepada semua syarikat yang menyokong apartheid Israel, bahawa akan ada akibatnya.
"Ia juga satu pengajaran kepada FIFA yang turut terpalit dan dikuasai Barat, yang terus melindungi Israel daripada kebertanggungjawaban walaupun pasukan ini melanggar undang-undangnya sendiri," katanya.
Tidak seperti kempen boikot lain, gerakan BDS menumpukan sebilangan kecil syarikat dan produk "untuk impak maksimum". Kempen itu diilhamkan daripada boikot anti-apartheid di Afrika Selatan.
Ia termasuk syarikat yang "memainkan peranan yang jelas dan langsung dalam jenayah Israel dan di mana terdapat potensi sebenar untuk menang", katanya.
Ia termasuk boikot pengguna terhadap lapan jenama dan semua barangan buatan Israel, serta nyahlabur daripada 10 syarikat.

