malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Logeswaran pengadil Kategori A, kata FAM
Diterbitkan:  Dec 11, 2023 1:14 PM
Dikemaskini: 5:14 AM
ADS

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini tampil mempertahankan pemilihan S. Logeswaran sebagai pengadil perlawanan akhir Piala Malaysia 2023, yang dimenangi Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas menumpaskan Terengganu FC 3-1, Jumaat lepas.

Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman berkata pemilihan Logeswaran dari Selangor dibuat dengan rapi, dan mendapat persetujuan Jawatankuasa Pengadil FAM selepas mengambil kira faktor beliau telah menunjukkan prestasi yang sangat, baik sepanjang kempen Liga Malaysia musim ini.

Beliau berkata antara sebab lain Logeswaran dipilih ialah status beliau sebagai pengadil berkecuali.

“Logeswaran juga merupakan antara pengadil senior dalam saingan Liga Malaysia, dengan beliau Pengadil Kebangsaan Kategori A,” katanya dalam kenyataan FAM hari ini.

Menurut Noor Azman, pemilihan Logeswaran juga dipengaruhi kekangan FAM untuk melantik enam pegawai perlawanan tempatan berstatus pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Razlan Joffri Ali dan Kamil Zakaria merupakan pengadil kelahiran Terengganu, Tuan Yaasin Tuan Hanafiah pengadil berdaftar di Johor, manakala Usaid Jamal yang baru bertugas di Melaka pula pernah berdaftar di Johor, sekali gus mereka tidak dapat dilantik atas faktor pengadil berstatus berkecuali.

“Baki dua lagi Pengadil FIFA, Suhaizi Shukri dari Kedah terlibat dengan tugasan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), manakala Nazmi Nasaruddin dari Pulau Pinang berada di Arab Saudi untuk tugasan pengadil,” katanya.

Sementara itu, berhubung beberapa keputusan pada aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu, antaranya pemberian dua sepakan penalti masing-masing kepada JDT dan Terengganu yang dipertikaikan, Noor Azman berkata kesemuanya tepat selepas penelitian rakaman video.

Dalam pada itu, beliau berkata FAM tidak menerima apa-apa maklumat berhubung kononnya Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA Pierluigi Collina menegur mutu pengadilan aksi final Piala Malaysia 2023 dan laporan yang tular di media sosial itu berita atau kenyataan palsu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen