Bekas pemain pertahanan skuad kebangsaan Argentina, Pablo Zabaleta, menganggap penjaga gol mereka beraksi "agak gila" semasa menyelamatkan keadaan sekali gus membawa skuad tersebut melangkah ke separuh akhir pada 14 Dis ini.
Zabaleta - yang pernah bermain untuk Machester City - memuji kelincahan Lionel Messi namun menganggap kekentalan Emiliano Martinez banyak menyumbang terhadap kemenangan Argentina mengatasi Belanda awal pagi tadi.
"Emi Martinez seorang wira... Kita memang memuji Messi, tapi Martinez seorang wira," katanya kepada BBC.
Bekas bintang bola sepak England dan Manchester Unitid, Rio Ferdinand, menganggap ketangkasan Martinez adalah luar biasa.
Kata Rerdinand, Martinez kelihatan begitu yakin menghadapi tendangan penalti penentuan daripada pemain Belanda dan tahu tindakannya itu akan melakar sejarah tersendiri.
"Dia juga agak ‘gila’..." sambut Zabaleta, 37, yang ketawa melihat aksi bekas penjaga gol Arsenal itu menari selepas berjaya menafikan dua tendangan penalti lawan.

Dalam perlawanan suku akhir yang mendebarkan itu, Argentina mendahului Belanda 2-0 melalui jaringan Nahuel Molina pada minit ke-35 sebelum Messi menggandakannya kira-kira 38 minit kemudian.
Namun ketika perlawanan berbaki 7 minit, Wout Weghorst merapatkan jurang. Pemain yang turut mewakili kelab Besiktas itu menyamakan kedudukan pada masa kecederaan dan membawa perlawanan ke masa tambahan.
Pun begitu tiada jaringan dapat dilakukan oleh mana-mana pemain, memaksa penentuan dibuat melalui tendangan penalti.

Martinez, 30, kemudian menjadi wira apabila menggagalkan tendangan ketua pasukan Belanda, Virgil van Dijk, dan Steven Berghuis.
Argentina muncul sebagai pemenang dengan jaringan 4-3.
Sementara itu dalam temu bual dengan media selepas perlawanan, Martinez sempat menempelak ketua jurulatih Belanda, Louis van Gaal, yang sebelum itu yakin mampu muncul sebagai pemenang jika perlawanan ditentukan melalui tendangan penalti.
"Van Gaal kata mereka (Belanda) ada kelebihan kalau ada tendangan penalti... saya rasa dia kena diam sajalah," katanya.

Martinez turut sempat mengecam pengadil perlawanan itu kerana memberi masa tambahan selama 10 minit "tanpa sebab".
“Harap-harap kita tak ada lagi pengadil yang begitu,” katanya.
Kemarahan penjaga gol terbabit dapat difahami kerana dalam tempoh itulah Belanda menyamakan kedudukan melalui tendangan percuma yang cantik dan licik, sekali gus menyaksikan Martinez kematian langkah menyelamatkan gawangnya.
Perlawanan berkenaan dikendalikan pengadil dari Sepanyol, Antonio Mateu Lahoz.

