malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Skuad bola sepak wanita Malaysia 'lemas' di Dhaka
Diterbitkan:  Jun 23, 2022 2:38 PM
Dikemaskini: 2:38 PM
ADS

Kurang daripada 10 hari Harimau Malaya membenam Bangladesh 4-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kini giliran Bangladesh 'membalas dendam' dengan cara yang lain.

Kali ini skuad negara dikalahkan dalam perlawanan bola sepak wanita yang berlangsung di Stadium Bir Sherestha Shaheed Shipahi Mostafa Kamal, Dhaka, Bangladesh.

Empat daripada enam gol Bangladesh dihasilkan pada babak separuh masa pertama. Malah gol sulung pasukan tuan rumah dituai seawal minit kesembilan melalui jaringan Mossamat Akhi Khatun.

Luka skuad Malaysia terus diparahkan oleh Sabina Khatun yang menjaringkan gol kedua pada minit ke-25 sebelum Mossamat Akhi Khatun menambah gol peribadi keduanya - dan gol ketiga Bangladesh - pada minit ke-29.

Mossamat Sirat Jahan menambahkan parah dengan jaringan gol keempat kira-kira seminit sebelum pengadil meniup wisel menamatkan separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua Monika Chakma dan Srimoti Krishnarani melengkapkan jaringan enam gol Bangladesh dengan masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-66 dan ke-73.

Perlawanan persahabatan tingkat satu ini adalah 'pemanas badan' untuk pasukan berkenaan menghadapi kejohanan AFF Wanita 2022 yang dijadual berlangsung di Manila bulan depan.

Lihat Komen