malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Olimpik Tokyo 2020: Menteri arah MSN dapatkan pengesahan dan perincian
Diterbitkan:  Jun 8, 2021 7:44 PM
Dikemaskini: 11:44 AM
ADS

Kementerian Belia dan Sukan mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) berbincang dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta semua pihak berkaitan untuk mendapat pengesahan dan maklumat terperinci berhubung laporan Malaysia antara 10 negara yang berkemungkinan tidak dibenarkan menyertai temasya Olimpik Tokyo 2020.

Menterinya Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya mengambil maklum perkara itu dan juga berkait dengan senarai 159 buah negara yang dihalang daripada memasuki negara Jepun seperti mana siaran pemakluman oleh Kementerian Luar Negeri Jepun.

"Siaran pemakluman tersebut juga turut menyentuh pengecualian yang boleh diberikan kepada beberapa kategori rakyat asing termasuklah “athletes and other persons concerned with Olympic and Paralympic Games Tokyo 2020.

"Sehubungan itu, saya mengarahkan MSN supaya berhubung dan berbincang dengan MOM serta semua pihak yang berkaitan untuk mendapat pengesahan dan maklumat terperinci berkenaan perkara ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambahnya KBS juga sentiasa berhubung rapat dengan pihak Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Malaysia di Jepun bagi mendapatkan sebarang perkembangan lanjut.

"Pada masa ini, momentum persiapan atlet negara berada pada tahap yang baik termasuklah persediaan latihan fizikal dan mental ke temasya Olimpik Tokyo 2020 yang akan berlangsung kira-kira 46 hari sahaja lagi.

 "Di samping persiapan terbaik untuk atlet, KBS akan sentiasa memastikan keselamatan dan kesihatan atlet, jurulatih serta pegawai yang terlibat sebagai keutamaan.

"Sebarang perkembangan terkini berkenaan perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," jelas Reezal.

Terdahulu perkara tersebut mendapat perhatian beberapa tokoh politik negara susulan satu laporan media.

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, perkara itu adalah tidak adil dan penganjur boleh menetapkan syarat tambahan kepada negara terlibat.

"Malaysia antara 10 negara yang dicadang kerajaan Jepun untuk dilarang menyertai sukan Olimpik tahun ini atas alasan keadaan Covid negara kita kritikal. Pendapat saya ialah ini tidak adil.

"Boleh kenakan syarat tambahan terhadap kita seperti tempoh kuarantin wajib 14 hari di sana, perlu disaring tiap-tiap hari sepanjang tempoh di Jepun dan semua peserta dari Malaysia perlu selesai divaksin. Harap KBS akan selesaikan isu ini," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Sementara itu tokoh veteran DAP Lim Kit Siang berkata, kemungkinan Malaysia dihalang menyertai acara itu menjadi bukti bahawa darurat yang diisytiharkan pada 11 Januari adalah kegagalan besar dalam melawan wabak Covid-19

Katanya, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan juga kabinetnya perlu berhenti menipu diri sendiri dengan mengatakan yang darurat dan penggantungan sidang Parlimen telah menyumbang secara positif kepada usaha memerangi wabak Covid-19.

"Saya jangkakan yang semakan keadaan wabak Covid-19 yang membawa kepada surat daripada kerajaan Jepun kepada Jawatankuasa pengajur Olimpik telah pun ditetapkan, memandangkan daripada sepuluh negara tersebut, hanya empat negara, termasuk Malaysia, yang masih menyaksikan peningkatan kes Covid-19," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Lihat Komen