malaysiakini logo
story-image
ADS

Selepas bintang Arsenal, Mesut Ozil, memberikan kenyataan mengenai layanan Beijing ke atas etnik minoriti Muslim Uyghur, kali ini juara dunia UFC kelas ringan, Khabib Nurmagomedov, pula menyatakan sokongannya dalam isu sama.

Memberikan sokongan kepada etnik Uyghur yang berdepan dengan pihak berkuasa China, Khabib memuat naik petikan video di Insta-story yang memaparkan sejarah kaum Muslim terbabit.

Video asal adalah dari akaun Instagram islam.video.hadisy, memaparkan tulisan dan naratif berbahasa Rusia.

Seperti dipetik CNN Indonesia, bersama Insta-story itu, Khabib turut menyertakan kapsyen: "Ya Allah, berilah kemudahan untuk para saudara kami, Uyghur."

Dalam video asal yang berdurasi 6.53 minit itu, turut disentuh ialah tentang kem tahanan tanpa bicara yang menempatkan umat Islam Uyghur di Xinjiang.

Video itu setakat ini sudah meraih hampir 50,000 tontonan.

Khabib - yang terkenal dengan jolokan Si Helang itu - sebelum ini memang sering bercakap mengenai hal-hal ketuhanan dan Islam. Malah pendiriannya terhadap agama sudah ditegaskan berkali-kali.

Ozil kena padam

Bintang seni pertahanan diri (MMA) warganegara Rusia itu kini mempunyai rekod cemerlang 28 kemenangan tanpa kalah.

Isu etnik Uyghur menarik perhatian ramai - termasuk dalam kalangan bukan Islam - selepas satu demi satu bukti menunjukkan mereka ditempatkan tanpa rela dalam tahanan kerajaan.

Beijing mendakwa langkah tersebut adalah bagi mengekang ekstremisme dan mereka yang ditahan diberikan latihan vokasional.

Penjuang hak asasi manusia dan kumpulan pendesak pula mendakwa tahanan terbabit dilayan secara zalim, termasuk dipaksa memakan babi, meminum arak, meninggalkan amalan agama dan al-Quran yang ada dirampas.

Pada 13 Disember, Ozil memuat naik hantaran di Twitter dan Instagram yang mengangkat etnik Uyghur sebagai pahlawan yang berjuang menentang kezaliman.

Dalam hantaran itu, pemain kebangsaan Jerman itu menyelar umat Islam kerana berdiam diri sedangkan “Quran dibakar, masjid ditutup, sekolah Islam, madrasah diharamkan, ulama dibunuh seorang demi seorang”.

“Tidakkah mereka tahu bahawa membiarkan penganiayaan itu adalah satu penganiayaan? Sayidina Ali, menantu Nabi Muhammad berkata, sekiranya kamu tidak boleh menghentkan penganiayaan, dedahkannya,” tambahnya dalam hantaran itu.

Susulan kenyataan Ozil itu, ‘kelibatnya’ dikeluarkan daripada pasukan Arsenal dalam permainan video Pro Evolution Soccer (PES) 2020 versi China, kerana didakwan membuat kenyataan “melampau” mengenai Cina, “melukakan perasaan peminat China dan melanggar semangat kasih sayang dalam sukan”.

Lihat Komen