malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Atlet gimnastik dakwa disingkir kerana 'tiada dara'
Diterbitkan:  Nov 29, 2019 10:09 PM
Dikemaskini: 2:09 PM
ADS

Seorang pelatih gimnastik kebangsaan Indonesia, Shalfa Avrila Siani, mendakwa dirinya disingkirkan dari kem latihan menghadapi Sukan SEA selepas dituduh tidak mempunyai dara oleh jurulatihnya.

Menurut peguam yang mewakili keluarga Shalfa, jurulatih terbabit membuat panggilan telefon kepada ibu bapa atlet berkenaan pada 13 Nov lalu bagi memaklumkan perkara itu.

"Ibu bapanya dihubungi jurulatih bernama Irma untuk datang mengambil Shalfa di Gresik dengan alasan dia bukan lagi seorang dara.

"Sudah tentu kedua ibu bapanya terkejut dengan perkara itu," kata peguam Imam Muklas kepada CNN Indonesia.

Terkesan dengan perkara tersebut, pihak keluarga atlet itu kemudiannya memutuskan untuk membuat pemeriksaan kesihatan di hospital Bhayangkara bagi mengetahui status dara sebenar Shalfa.

Walaupun hasil pemeriksaan lanjut mendapati selaput dara atlet tersebut masih berada dalam keadaan baik, namun pihak jurulatih menegaskan atlet tersebut perlu melakukan ujian kali kedua bagi mengesahkan status daranya.

Berang dengan tindakan jurulatih tersebut, pihak keluarga atlet itu kemudian cuba mendapatkan penjelasan dari pihak persatuan gimnastik namun kecewa selepas dimaklumkan tuduhan tersebut hanya dibuat daripada anggapan semata-mata.

Janji ambil tindakan

Sementara itu Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Indonesia, republik itu Gatot S Dewa Broto, dalam satu kenyataan dipetik CNN Indonesia bagaimanapun menafikan Shalfa disingkirkan dari kem latihan secara paksa.

"Kami menghubungi Puan Ita dari Persani (Persatuan Senam Indonesia).

"Maklumatnya adalah seperti berikut; tidak ada pengusiran secara paksa oleh jurulatih Persani," katanya.

Ketua Umum Persani, Ita Yualita, pula hari ini menjelaskan status dara bukanlah menjadi penghalang untuk atlet mewakili Indonesia memandangkan ada dalam kalangan mereka yang sudah berkahwin.

Dia pada sama turut menafikan pengguguran atlet tersebut adalah disebabkan status daranya namun menjelaskan Shalfa gagal menunjukkan prestasi yang baik sehingga digugurkan.

Ita pada hari ini bagaimanapun berjanji akan memberikan hukuman kepada jurulatih tersebut seandainya pengguguran Shalfa daripada kem latihan skuad kebangsaan benar-benar berpunca daripada tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Lihat Komen